Contohi Anwar-Musk mudahkan urusan harianguna teknologi canggih

Contohi Anwar-Musk mudahkan urusan harian guna teknologi canggih

PERTEMUAN Anwar dan Elon Musk secara maya baru-baru ini bukti penggunaan teknologi memberi manfaat dalam urusan harian dan kerja. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berjaya mengadakan pertemuan melalui sidang video bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk baru–baru ini. Satu perkara yang unik adalah proses pertemuan itu dilaksanakan dengan jayanya secara dalam talian. Ini sekali gus membuktikan penggunaan teknologi dapat memberi manfaat besar dalam mengendalikan urusan harian dan kerja.

Semua pihak termasuk golongan pekerja harus mengambil peluang dengan melakukan urusan menggunakan kemudahan teknologi yang ada.

Dengan keadaan dunia yang bergerak pantas pada ketika ini, kita tidak boleh lagi menggunakan kaedah lama dalam urusan harian termasuk mengadakan mesyuarat secara bersemuka.

Sebelum ini, Anwar pernah menyarankan rakyat mengambil langkah berjimat-cermat khususnya dalam pentadbiran kerajaan.

Saranan dan usaha yang diambil ini adalah penting di kala negara dan dunia sedang berhadapan keadaan ekonomi tidak menentu dan masalah kos sara hidup.

Terdapat pelbagai cara boleh diambil oleh perkhidmatan awam bagi membelanjakan peruntukan kewangan secara cekap dan tidak membazir, iaitu dengan menggalakkan sesetengah aktiviti dan program berkaitan kerja secara dalam talian seperti mesyuarat, seminar, bengkel, kursus dan lain-lain lagi.

Kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada masa kini juga banyak memberi ruang dan peluang untuk sesetengah jenis pekerjaan dilakukan secara fleksibel melalui dalam talian tanpa perlu berada di pejabat secara bersemuka.

Memandangkan penularan virus Covid-19 dan varian yang dibawanya masih berlaku dalam negara kita serta serata dunia, jadi tidak wajar sesetengah aktiviti atau program dilakukan secara bersemuka di samping membuang masa dan tenaga. Bahkan penjimatan dapat dilakukan apabila tidak lagi perlu menyediakan juadah, menempah bilik atau dewan, alat tulis dan sebagainya.-UTUSAN

PROF. MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×