Jangan terkejut Gerakan menjadi ‘kuda hitam’ - Utusan Malaysia

Jangan terkejut Gerakan menjadi ‘kuda hitam’

DOMINIC Lau (kiri) telah mengumumkan bahawa Gerakan akan bertanding di 30 kerusi di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DENGAN sokongan kuat sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) boleh dikatakan berada di ambang kejayaan pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Memperlihatkan keyakinan yang baharu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau telah mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding di 30 kerusi di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Dengan sokongan padu Pas dan Bersatu, Gerakan mempunyai peluang yang cerah untuk bangkit semula dan menjadi satu pilihan yang serius, terutamanya untuk pengundi bukan Melayu.

Sebagai ahli Bersatu, saya rasa dengan sokongan kuat pengundi Melayu kepada PN, Gerakan hanya perlu meyakini segelintir pengundi bukan Melayu untuk membantu PN memenangi atau merampas negeri-negeri ini pada PRN.

Walaupun ramai kini memperlekehkan kekuatan parti itu, Gerakan mampu membuat kejutan semasa PRN. Untuk PN meraih kemenangan besar, ia memang memerlukan sokongan dari semua komuniti, termasuk undi bukan Melayu yang tertumpu di kawasan-kawasan bandar, di mana Gerakan lazimnya akan bertanding.

Di sinilah Gerakan akan memainkan peranan pentingnya, iaitu memberi satu alternatif yang realistik berbanding DAP atau MCA. Meskipun, Gerakan tidak memiliki sebarang kerusi di dalam Dewan Rakyat, ini tidak bermakna parti ini telah lesu dan tidak mampu bangkit kembali seperti zaman kegemilangannya, di mana ia telah memerintah Pulau Pinang dari 1969 hingga 2008.

Mengikut pengamatan saya, rasa tidak puas hati pengundi bukan Melayu terhadap kerajaan perpaduan semakin meningkat. Banyak janji-janji pilihan raya tidak ditepati seperti penghapusan tol, pengurangan harga minyak, dan pemansuhan lantikan politik. Semua ini hanya membara kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

Di Pulau Pinang, yang sebelum ini merupakan kubu kuat Gerakan, rakyatnya sudah bosan dengan pemerintahan DAP. Isu yang paling hangat di sana sekarang ialah projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI).

Walaupun saiz projek dikecilkan, ia tetap akan merosakkan ekosistem di negeri itu, malah akan menjejaskan kehidupan nelayan-nelayan di sana.

Lebih buruk lagi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan DAP yang telah bertapak di negeri itu sejak 2008 masih gagal menyelesaikan masalah-masalah asas seperti kesesakan lalu lintas dan bekalan air.

Ketidakpuasan komuniti bukan Melayu bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi juga berlaku di negeri-negeri lain dan semua ini bakal membantu Gerakan bangkit semula semasa PRN nanti.

Perlu kita ingat bahawa Gerakan bukan sebuah parti baharu. Sebelum ini, ia merupakan antara parti komponen utama di dalam Barisan Nasional (BN) dan memiliki jentera pilihan raya yang kuat dan berpengalaman.

Ini akan memberikannya kelebihan dalam menjalankan kempen dan menyampaikan mesej kepada pengundi. Tidak mustahil Gerakan akan menjadi kuda hitam (pasukan yang kuat tetapi tidak diberikan perhatian ataupun penilaian selayaknya) dalam PRN nanti.

Kemenangan Gerakan semasa PRN ini amat penting buat PN kerana kepelbagaian dan inklusiviti adalah aspek penting dalam sesebuah perikatan politik dan telah menjadi asas kepada pemerintahan negara sejak merdeka lagi.

Dengan Pas dan Bersatu berpaksi kepada pengundi Melayu, Gerakan boleh menjadi rakan kongsi penting dalam penggubalan dasar di dalam masyarakat majmuk negara ini. – UTUSAN

ABDUL MANAF HANAFI, Seremban, Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya