J-Kom jangan ulang kesilapan lampau - Utusan Malaysia

J-Kom jangan ulang kesilapan lampau

PENGGUNAAN Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sebagai saluran propaganda hanya akan menghancurkan nilai-nilai Malaysia Madani. – GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, akaun Twitter rasmi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) telah memuat naik ciapan tentang keputusan sebuah tinjauan pendapat umum yang mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu paling sesuai menjadi Perdana Menteri.

Beribu-ribu tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri ke-10 yang mendahului dengan populariti 46 peratus berbanding ‘pencabar’ terdekat, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuma merekodkan 17 peratus.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula masing-masing mendapat enam peratus.

Menurut ciapan tersebut, kajian itu dijalankan oleh Endeavour-MGC dari 4 hingga 18 April lepas. Dapatan tersebut diperoleh hasil tinjauan pendapat awam yang membabitkan 1,068 responden semua kaum dan 791 responden Melayu yang dipilih melalui persampelan rawak berstrata.

Jumlah responden lelaki dan wanita masing- masing 50 peratus manakala kaum Melayu mewakili 62.2 peratus, Cina (28.7 peratus), India (8.2 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus).

Saya ingin bertanya apakah tujuan ciapan J-Kom ini? Adakah ini selari dengan falsafah penubuhan jabatan tersebut, yakni (berdasarkan laman sesawang rasmi) “membangunkan komuniti di peringkat akar umbi dengan pendekatan pengehakupayaan dengan berteraskan tiga fokus utama, iaitu berbudaya ilmu, berkemahiran digital dan berjiwa patriotik”?

Hantaran tersebut tidak dapat membantu mengurangkan beban kewangan rakyat akibat kemelesetan ekonomi atau memberi maklumat dan penerangan tentang polisi kerajaan.

Saya lihat ciapan itu tidak lain dan tidak bukan, hanya untuk tujuan propaganda dan menaikkan nama Anwar. Inilah ‘masuk bakul angkat sendiri’, menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan politik, khasnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Yang peliknya, penggunaan J-Kom, ataupun lebih dikenali sebagai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebelum ini untuk tujuan politik pernah dikritik oleh Anwar dan pemimpin lain semasa mereka berada di pihak pembangkang.

Dengan lantang, mereka menuntut Jasa ditutup dan semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020, jabatan tersebut memang dimansuhkan. Tetapi ia dijenamakan semula selepas itu sebagai J-Kom.

Malah, Ketua Pengarah J-Kom, Profesor Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff, seorang rakan karib Anwar telah dilantik dan jabatan itu dipindahkan dari Kementerian Komunikasi dan Digital ke Jabatan Perdana Menteri.

Semua ini memberi optik yang salah kepada rakyat. Kerajaan sekarang dilihat menggunakan J-Kom sebagai alat propaganda politik, sama seperti tuduhan yang dilemparkan kepada pentadbiran terdahulu. Tetapi pentadbiran sekarang lebih terbuka lagi menyalahgunakan jentera kerajaan.

Sebagai sebuah jabatan kerajaan, J-Kom seharusnya fokus pada penyampaian maklumat awam yang telus dan neutral, bukan menyebarkan propaganda politik untuk mempengaruhi pendapat umum. Penggunaan J-Kom sebagai saluran propaganda hanya akan menghancurkan nilai-nilai Malaysia Madani yang diperjuangkan oleh Anwar. – UTUSAN

ABDUL FATHUL SALAHUDDIN, Alor Gajah, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya