Guna dana iklim PBB bina penempatan mangsa banjir - Utusan Malaysia

Guna dana iklim PBB bina penempatan mangsa banjir

WAKIL penduduk Kampung Insaf, Lanchang, Pahang menyerahkan memorandum kepada Wan Rosdy Wan Ismail di Kuantan, Pahang pada 15 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 15 Jun lalu, sekumpulan wakil penduduk Kampung Insaf, Lanchang, Pahang menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkenaan isu banjir di penempatan mereka yang tidak pernah ditemui jalan penyelesaian.

Penduduk mahu kerajaan negeri menyediakan penempatan baharu dan rumah mampu milik untuk mereka. Penduduk membuka penempatan Kampung Insaf sejak 1970-an lagi dan bencana banjir berlaku hampir setiap tahun.

Bantuan diberikan oleh kerajaan negeri tetapi ia hanya untuk jangka masa pendek. Ia tidak memberi penyelesaian jangka panjang apabila tiada penempatan baharu disediakan untuk penduduk berpindah.

Penduduk menyerahkan memorandum setelah mendapat sokongan sebulat suara apabila masing-masing menyatakan kesediaan berpindah ke penempatan baharu.

Orang kampung mahu kerajaan negeri melindungi mereka daripada musibah kerana sudah tidak mampu mengharungi masalah yang sama setiap kali banjir.

Saya berpendapat memindahkan penduduk ke penempatan baharu bukan masalah kepada kerajaan negeri kerana tanah adalah di bawah bidang kuasanya. Bagaimanapun, jika peruntukan menjadi masalah, kerajaan negeri boleh membuat permohonan kepada kerajaan Pusat.

Seperti kita tahu, pada 2021, Malaysia memohon Dana Iklim Hijau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berjumlah AS$3 juta (RM12.5 juta) bagi menangani perubahan iklim menimpa negara ini termasuk yang menyebabkan banjir.

Ekoran bencana banjir yang semakin kerap melanda negara, sudah sampai masanya lebih banyak dana dipohon kerana jumlah perbelanjaan untuk penempatan semula mangsa bencana alam ketika ini adalah lebih tinggi berikutan kos bahan binaan dan upah pekerja semakin meningkat.

Dana ini eloklah disalurkan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang terlibat secara langsung membantu penduduk.

Saya difahamkan PBB tidak menghadapi sebarang masalah untuk menyalurkan lebih banyak peruntukan kerana sidang kemuncak iklim anjuran badan itu pada hujung tahun lalu telah meluluskan pembentukan dana khas dengan nilai lebih banyak. – UTUSAN

HAJI HAMZAH, Kuantan, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya