Elak keindahan alam hanya dibaca dalam buku sejarah - Utusan Malaysia

Elak keindahan alam hanya dibaca dalam buku sejarah

DALAM mengejar arus kemodenan, kelestarian alam juga perlu dititikberatkan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENURUT pakar geologi, bumi yang kita diami sudah berusia hampir 4.54 bilion tahun berdasarkan ukuran usia batu dan meteorit yang ditemui di dunia.

Sehubungan dengan itu, tanggal 22 April setiap tahun telah diwartakan sebagai Hari Bumi Sedunia bagi memperingati dan memberi kesedaran awam ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Namun, persoalannya apakah kepentingan menjaga alam sekitar atau bumi kita mengikut sudut pandang agama Islam itu sendiri memandangkan manusia merupakan khalifah yang diperintahkan oleh Allah untuk membawa kedamaian kepada seluruh alam?

Dalam agama Islam, pembicaraan mengenai alam bukanlah picisan bahkan jika merujuk kepada kandungan al-Quran sendiri, didapati isu alam telah dijadikan asas untuk mengenali dan mendekati Tuhan kerana apabila kita mengamati sahaja segala ciptaan Allah kita akan menemukan segala kebesaran dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa.

Bermula daripada penciptaan alam ini lagi, segala sistem telah diatur sempurna. Peredaran cakerawala, aturan kehidupan dan pembiakan organisma serta kebergantungan alam antara satu dengan yang lain bagi membentuk satu ekosistem lengkap.

Mana mungkin ada ciptaan manusia yang lebih hebat daripada ciptaan Allah sedangkan manusia juga diciptakan oleh-Nya. Dalam pada itu, memang benar kerosakan di dunia ini disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang rakus dan tamak dalam mengejar kekayaan. Orang-orang seperti ini tidak teragak-agak untuk merosakkan flora dan fauna demi mengaut keuntungan sendiri.

Oleh itu, ingatlah bumi yang ada hari ini bakal diwarisi oleh generasi akan datang. Jika tanah yang ditinggalkan tandus, maka cerita-cerita tentang keindahan alam ciptaan Tuhan hanya akan menjadi satu bab ilmiah dalam buku sejarah sahaja.

Dalam usaha mengejar arus kemodenan, kelestarian alam juga perlu dititikberatkan supaya kemodenan dan alam sekitar dapat berkembang seiring tanpa merosakkan salah satu daripadanya. – UTUSAN

NUR ATIQ MAISARAH SUHAIMI, Bachok, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya