Lepas 25 tahun AIM, muzik bagaimana yang kita cari? - Utusan Malaysia

Lepas 25 tahun AIM, muzik bagaimana yang kita cari?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANUGERAH muzik paling berprestij di Malaysia memasuki tahun ke-25. Sesuai jubli emasnya, kesemua calon bakal diterbangkan ke Kuching, Sarawak untuk diraikan di lokasi gah, Borneo Convention Centre Kuching, 26 September ini. 

Jersey Ketua Juri disarungkan kepada Ajai yang ditugaskan mengelola segala proses penjurian melibatkan 120 pemuzik berpengalaman di Malaysia. 

Karya lima terbaik daripada 32 kategori yang dipertandingkan sudah diumumkan (kecuali Anugerah Sri Wirama) menunjukkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan dominasi pencalonan terbanyak diikuti Aisha Retno, Hael Husaini dan Mimifly.

Oleh itu, berdasarkan kepada saringan lima terbaik yang diumumkan baru-baru ini, sudah tentu barisan juri sudah boleh mencerap pola, trend, perkembangan atau penurunan kualiti (jika ada) daripada 600 penyertaan yang dihantar oleh syarikat rakaman atau pengurusan masing-masing. Soalan itulah yang Utusan Malaysia ajukan kepada Ajai atau Mohd Faizal Maas, 51, bagi membincangkan landskap muzik kita hari ini.

“Edisi kali ini kita ada perkembangan bagus. Usia penyanyi tidak penting, tapi yang kita mahu cerita ialah bunyi yang sedap iaitu apa yang pengkarya boleh hasilkan seiring dengan dunia semasa. 

“Kalau bercerita tentang lagu, ia tidak hanya tertumpu kepada melodi tetapi pakej. Kita mahu pergi lebih teliti baik susunan muzik, mixing atau sesiapa sahaja yang terlibat sejak dari rakaman awal. 

“Daripada apa yang kita lihat, generasi pengkarya hari ini lebih teliti, mungkin kerana mereka menggunakan gajet terkini yang up-to-date dalam album selain daripada membuat melodi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bercakap mengenai kriteria yang dicari untuk menentukan Lagu Terbaik yang akan menjadi rujukan generasi akan datang terhadap perkembangan industri muzik Malaysia, Ajai berkata, setiap juri akan memberi pemarkahan dalam borang penilaian sesuai dengan kepakaran masing-masing. 

Bagaimanapun, katanya, proses penilaian akan berjalan telus namun tidak mendedahkan elemennya yang tertera dalam borang penjurian. 

“Dalam menentukan Lagu Terbaik, kita ada barisan juri dengan ketajaman pendengaran yang berbeza, termasuklah selera masing-masing. Kita bersikap terbuka, tidak pernah memberikan apa-apa rujukan kepada barisan juri.

“Jika mereka fikir lagu itu sedap, mungkin markahnya akan banyak. Setiap kategori pula dinilai oleh juri dan kriteria berbeza. Mungkin ada 17 orang juri, mungkin yang lain 12 orang juri. 

“Juri akan menulis markah dalam borang, tak perlu kira kerana itu semua akan diserahkan kepada pihak auditor yang dilantik. Apa pun, contohnya saya sebagai ketua juri, penilaian itu saya berikan berdasarkan pendapat dan pengalaman saya tentang bagaimana proses rakaman itu terjadi,” katanya. 

Tambah Ajai yang pernah memenangi tiga kali kategori Lagu Terbaik di AIM, dia yakin sepanjang proses penilaian, juri akan dapat melihat kepentingan dan usaha yang dilakukan setiap individu mahupun pekerja belakang tabir dalam menghasilkan sebuah karya, 

“Juri akan dapat ‘menceritakan’ daripada awal label memulakan lagu, setiap jabatan yang terlibat, tentang artis bertanding, jurutera muziknya, rakaman, mixing engineer sehinggalah kulit album.

“Sebab itu saya pernah cadangkan kepada penganjur untuk adakan kategori jurusolek sebagai menghargai usaha mereka mencantikkan artis bagi mendapatkan kulit album yang artistik,” komennya.

Bagaimanapun jelas Ajai, dia berharap lebih ramai artis akan memberi fokus untuk menghasilkan album sekali gus menghantar penyertaan untuk Album Terbaik pada edisi akan datang.

“Rugi jika hanya fokus penghasilan single sebab orang akan nilai bedasarkan berapa album anda ada sepanjang karier dalam industri.

“Kebanyakan lagu-lagu yang pergi kepada Album dan Lagu Terbaik akan berpandu kepada album. Kita tidak boleh menilai lagu dengan satu single. Tidak ada kepuasan.

“Kita mahu melihat kepuasan, hala tuju album dan konsep,” katanya.

Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-25 akan disiarkan secara langsung eksklusif di TVS Saluran 122 melalui platform MYTV, Unifi TV, dan Astro.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×