TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran pada Jumaat berkata bahawa mereka menyerang sebuah kapal tangki minyak yang berayar di bawah bendera Togo di Selat Hormuz, lapor agensi berita negara IRNA.
Teheran mengenakan sekatan berkesan terhadap selat itu sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran pada akhir Februari.
Republik Islam itu mahu mengenakan bayaran tol bagi pelayaran melalui selat berkenaan, selain menyerang kapal yang didakwa cuba mengelak laluan yang ditetapkannya.
“Kapal tangki minyak berbendera Togo, ‘Trend’, telah menjadi sasaran dan ditahan selepas kebakaran berlaku di atas kapal,” menurut kenyataan itu, merujuk kepada cubaan melakukan pelayaran secara haram melalui laluan perairan penting berkenaan.
Sebuah pusat hubungan kapal dagang, Operasi Perdagangan Marin United Kingdom (UKMTO) pada Khamis mengumumkan insiden keselamatan di Selat Hormuz, 29.6 kilometer ke timur laut Khasab, Oman.
UKMTO tidak memberikan butiran mengenai kapal terbabit dan tidak dapat dipastikan sama ada ia kapal yang sama seperti disebut Pengawal Revolusi Iran. – AFP










