Selamatkan kesucian kalimah Allah

Selamatkan kesucian kalimah Allah

PEGUAM mewakili seorang wanita Melanau dari Sarawak, Lim Heng Seng (dua dari kiri) dan Annou Xavier berjalan keluar selepas mahkamah memutuskan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah Allah dalam pembelajaran agama mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEPUTUSAN menarik balik permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill lwn. Menteri bagi Kementerian Dalam Negeri & Anor. (2021) 8 MLJ 890 baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada segenap lapisan rakyat.

Sebahagian rakyat terutama mereka yang beragama Islam berpandangan, seandainya keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 tersebut tidak dicabar di Mahkamah Rayuan berkaitan penggunaan kalimah Allah dalam pencetakan Kristian, pasti hal ini secara langsung akan mencemarkan kesucian kalimah Allah dan menggugat akidah umat Islam di seluruh negara.

Walaupun prinsip kebebasan beragama yang diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan membenarkan penganut agama selain Islam untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai, namun perlu diingatkan bahawa undang-undang juga telah menetapkan suatu ruang batasan terhadap kebebasan yang diberikan demi memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Sebagai contoh, Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang negeri dan persekutuan boleh menyekat dan mengawal pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan Muslim di negara ini. Malahan, berdasarkan kes Daud bin Mamat & Ors lwn. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu & Anor. (2002) 3 MLJ 728, doktrin yang bercanggah dan ditolak oleh agana Islam juga adalah tidak dibenarkan untuk disebarkan kepada umat Islam secara keseluruhannya. Tambahan lagi, agama Islam yang dianuti kira-kira 63.5 peratus daripada seluruh rakyat Malaysia menerima mazhab as-Syafie dalam bidang fiqah serta akidah al-Ashairah dan al-Maturidiah sebagai sumber rujukan utama dalam bidang pelaksanaannya.

Dari sudut pandang English Common Law, sebagai mahkamah tertinggi di negara ini, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur lwn. Menteri Dalam Negeri & Ors. (2014) 4 MLJ 765 yang mengekalkan larangan penggunaan kalimah suci Allah dalam penerbitan Kristian sepatutnya menjadi binding precedence (duluan mengikat) ke atas semua mahkamah di bawahnya.

Namun demikian, sekiranya fakta yang dikemukakan dalam kes Jill Ireland berbeza dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, maka keputusan oleh pihak mahkamah juga akan turut sama berbeza.

Oleh hal demikian, kebebasan institusi kehakiman dan undang-undang mestilah dihormati oleh setiap rakyat Malaysia demi mengekalkan keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.-UTUSAN

MUHAMMAD AIMAN FIRDAUS KAMAL NOR AZMAN
Tasek Gelugor, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.