Perpaduan kitahanya kosmetik

Perpaduan kita hanya kosmetik

KESATUAN dalam perbezaan adalah kehebatan sebenar bangsa Malaysia yang membolehkan kita terus kekal teguh bersama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JUJURNYA kita perlu akui masih banyak perlu dilakukan untuk memperkukuh tahap perpaduan antara kaum di negara ini. Justeru, masyarakat tidak boleh rasa bosan untuk bercakap tentang keperluan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat kerana ia adalah tunjang kestabilan dan pembangunan rakyat serta negara.

Setiap warganegara yang bertanggungjawab dan mahu negara ini kekal aman, harmoni serta stabil perlu memikul amanah untuk mempertahankan jambatan perpaduan yang telah diwariskan kepada kita oleh generasi terdahulu.

Tuntasnya, tidak mungkin kita bebas merdeka dan berada pada kedudukan seperti sekarang andai generasi terdahulu tidak sanggup bertolak ansur dan mengetepikan segala perbezaan pada ketika itu. Ternyata pemimpin terdahulu meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan sekali gus membina jambatan perpaduan yang kukuh antara semua lapisan masyarakat sebelum menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Jadi, tidak keterlaluan untuk dirumuskan, kualiti perpaduan yang ada ketika ini sangat rapuh dan hanya senipis kulit bawang.

Kita khuatir jika dibiarkan insiden-insiden kecil yang berlaku selain peranan individu tidak bertanggungjawab yang suka mengadu domba, situasi akan menjadi lebih parah dan akhirnya boleh meruntuhkan jambatan yang kita pertahankan selama ini.

Misalnya, ada sahaja terus mempertikai apa yang terpateri kemas dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan institusi diraja sebagai payung negara.

Untuk rekod, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka tujuh kertas siasatan berkaitan kes penghinaan terhadap kaum, agama dan institusi diraja (3R) dalam tempoh 10 hari bermula 27 Mac hingga 6 April lalu.

Media sosial dilihat menjadi platform utama pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan pelbagai fitnah dan tohmahan termasuk memuat naik gambar serta video sensitif yang menyentuh isu 3R sekali gus menggusarkan rakyat.

Harus diingat, kejayaan pembentukan masyarakat dan negara madani juga bergantung sepenuhnya kepada kualiti dan tahap perpaduan yang kita miliki.

Ironinya, kesatuan dalam perbezaan adalah kehebatan sebenar bangsa Malaysia yang membolehkan kita terus kekal teguh bersama.-UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya