Pemimpin jangan hilang dari radar - Utusan Malaysia

Pemimpin jangan hilang dari radar

NEGARA ini mempunyai potensi untuk berkembang maju jika mempunyai kepimpinan yang berkualiti. – UTUSAN/MOHD. IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LANDSKAP politik Malaysia hari ini sudah berubah ke arah yang lebih mampan dan progresif. Rakyat semakin matang dan bijak dalam memilih pemimpin mereka.

Kecanggihan teknologi pada masa kini dilihat sangat membantu rakyat untuk membuat penilaian dan pemilihan berdasarkan ketokohan dan kebijaksanaan pemimpin mengurus negara.

Untuk itu, jika ditelusuri secara jujur, sudah pasti kebanyakan pihak mahu pemimpin yang disenangi dan dapat memacu negara ke arah lebih baik bagi menjamin kelangsungan hidup seluruh rakyat.

Rakyat dari pelbagai latar dan budaya impikan calon pemimpin yang benar-benar dekat di hati mereka.

Bukan calon yang hanya menang bertanding pilihan raya tetapi kemudian hilang dari radar penglihatan rakyat. Pemimpin perlu memiliki jiwa besar untuk menyantuni rakyat pada setiap masa.

Bukan hanya pandai membodek pihak atasan parti-parti politik atau mengharapkan supaya dicalonkan demi mengejar kuasa dan jawatan.

Tetapi lebih penting, calon pemimpin itu lebih memahami maksud kepimpinan adalah satu beban tanggungjawab di hadapan Allah SWT dan bukannya keistimewaan bagi mengharapkan habuan dunia.

Pemilihan calon pada pilihan raya negeri (PRN) perlu dinilai dalam kalangan mereka yang bukan meminta jawatan mahupun kuasa, namun sebolehnya diberikan kepada mereka yang ikhlas dan mempunyai kebijaksanaan dalam mengangkat martabat rakyat.

Sudah pasti maklum balas dari pelbagai lapisan masyarakat serta pencapaian yang diperoleh melalui usaha dilaksanakan dijadikan penanda aras dalam memilih mereka sebagai calon.

Di samping itu, muka-muka baharu terutama barisan pelapis kepimpinan muda perlu diketengahkan bagi membolehkan landskap politik negara mempunyai kesegaran. Bagi orang lama, bolehlah membantu memberi nasihat dan panduan kepada calon-calon baharu.

Selain itu, sangat penting bagi setiap calon menonjolkan bakat, kebijaksanaan dan kematangan dalam mengangkat martabat rakyat.

Usaha menambah baik sistem politik tanah air perlukan tekad dan iltizam daripada para pemimpin masa depan yang menjiwai nilai, adab dan mengutamakan aspirasi rakyat dan negara berbanding kepentingan peribadi.

Oleh itu, parti-parti politik yang bertanding pada PRN dalam masa berbaki ini perlu mengemukakan calon pemimpin masa depan yang baharu, mempunyai keyakinan dan nilai untuk membawa negara pada landasan tepat.

Jika ini gagal dikemukakan oleh parti-parti yang bertanding, maka kesilapan ini akan mengundang masalah besar di kemudian hari.

Kesimpulannya, membina Malaysia Madani memerlukan kesungguhan dan tekad luar biasa bagi setiap calon PRN bagi membawa anjakan paradigma dan mampu membuat lonjakan kejayaan.

Pemimpin yang mampu menjadi pejuang rakyat perlu dipilih dalam kalangan mereka yang benar-benar layak.

Pemimpin yang dekat dan sentiasa hadir menyantuni rakyat adalah calon terbaik di samping memiliki latar belakang kepemimpinan yang hebat.

Mengambil contoh kepemimpinan Umar Abdul Aziz, seorang khalifah Islam yang berjaya membina tamadun umat sentiasa disanjung dan dikenang di dalam lipatan sejarah manusia.

Pemerintahan yang adil perlu disokong oleh semua pihak. Semoga negara ini terus cemerlang dengan memiliki kepimpinan luar biasa dari sudut pemikiran dan tindakan.

Usaha memperbaiki kesilapan lalu, perlu bermula hari ini. Ini kerana Malaysia mempunyai potensi untuk berkembang maju jika mempunyai kepimpinan berkualiti. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya