OPR naik lagi, bank untung tapi rakyat catu beli beras

OPR naik lagi, bank untung tapi rakyat catu beli beras

RAKYAT golongan rendah dan sederhana mungkin terpaksa meminjam dengan along untuk membeli barang keperluan disebabkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan kos sara hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH lima kali sejak 11 Mei tahun lalu, kerajaan menaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Kini jumlah meningkat 25 mata perpuluhan kepada 3 peratus yang ternyata semakin membebankan golongan B40 dan M40.

Keadaan itu menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana semakin tertekan dan bergelut membayar balik pinjaman, lebih-lebih lagi rakyat sedang dibebani kos sara hidup tinggi.

Sebagai rakyat, kami faham, OPR sering dikaitkan dengan tindakan untuk mengawal kadar inflasi. Namun, tiadakah langkah strategik kerajaan untuk mengurangkan bebanan ditanggung rakyat?

Bahkan Program Payung Rahmah yang bertujuan membantu B40 menangani isu kos sara hidup tidak nampak kesannya.

Rakyat semakin ditekan apabila peningkatan perbelanjaan bulanan untuk tujuan barang keperluan seperti barang dapur, susu anak atau duit makan dan duit minyak untuk ke pejabat sahaja tidak setanding dengan jumlah pendapatan.

Sebagai rakyat, saya amat kecewa dengan kerajaan hari ini. Memberi satu undi kepada penubuhan kerajaan hari ini boleh diumpamakan seperti harapkan pagar, pagar makan padi. Saya percaya ramai lagi penyokong atau pengundi turut kecewa. Ia seperti membunuh harapan rakyat untuk melihat perubahan kepada negara.

Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sepatutnya memahami kesusahan yang sedang dihadapi rakyat ketika ini. Semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan main lagi menyatakan kesanggupan untuk mengurangkan beban rakyat. Sekarang sudah jadi kerajaan, apa sudah jadi? Mana janji yang dilontarkan sebelum ini?

Sedangkan cadangan menambah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan untuk pekerja kepada 20 peratus mendapat kecaman teruk, inikan pula kenaikan OPR.

Kerajaan sepatutnya mendengar denyut nadi serta suara hati rakyat yang terbeban. Jangan sampai nanti kadar bunuh diri meningkat disebabkan tekanan hidup ataupun ramai terjerat dengan along.

Kerajaan juga tidak boleh hanya memikirkan cara untuk menguntungkan institusi perbankan dengan alasan bagi menarik pelabur sedangkan rakyat sedang mencatu untuk membeli beras.-UTUSAN
AZRI IBRAHIM
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya