Kami rayu, jangan usir kami’ – Petani kecil Kanthan - Utusan Malaysia

Kami rayu, jangan usir kami’ – Petani kecil Kanthan

PETANI-PETANI kecil yang menanam sayur di atas tanah yang diusahakan mereka tidak seharusnya diusir keluar secara paksa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAMI, golongan petani moden yang menanam sayur di Kanthan, Chemor, Perak amat khuatir apabila mendengar berita yang upacara pecah tanah untuk projek kilang silika akan diadakan di kawasan ini.

Kami bimbang majlis berkenaan akan disusuli pula dengan usaha-usaha untuk mengusir pekebun sayur dan penternak ikan berhampiran lokasi kilang itu.

Kawasan Kanthan mengeluarkan 60 tan sayur-sayuran setiap hari. Petani-petani kecil di kawasan Kanthan merupakan salah satu sumber pembekalan makanan yang penting untuk rakyat Perak.

Janji yang diberi kepada petani-petani kecil ini bahawa mereka akan ditawarkan tanah gantian masih belum ditunaikan lagi.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) ada menunjukkan kepada petani-petani kecil ini satu kawasan berbukit di belakang Kampung Kolam, Changkat Kinding sebagai tanah gantian.

Namun, kawasan itu tidak sesuai untuk penanaman sayur-sayuran kerana berbukit dan kekurangan air. Kawasan tersebut lebih sesuai untuk penanaman kelapa sawit ataupun dusun buah-buahan. Ia juga memerlukan banyak modal untuk membuat teres bagi penanaman.

Kawasan penanaman sayur di kawasan Kanthan perlu dikekalkan kerana prestasi enam Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Perak amat tidak memuaskan.

Pengeluaran sayur-sayuran di enam kawasan tersebut sangat rendah dan sebahagian besar tanah di situ tidak diusahakan sedangkan bekalan makanan untuk rakyat terjejas oleh perubahan iklim, peningkatan harga baja dan dedak binatang ternakan.

Bil import makanan ke Malaysia telah mencecah RM70 bilion pada tahun lalu. Oleh itu, ini bukan masanya untuk memusnahkan salah sebuah kawasan pengeluaran sayur-sayuran dan jagung yang terbesar di Perak.

Pada 25 tahun lalu, 61 hektar kawasan tanaman sayur-sayuran di Kanthan ditukar status guna tanahnya kepada tanah perindustrian dan kira-kira 30 orang pekebun kecil telah diusir.

Namun, sehingga kini 40 peratus kawasan itu masih terbiar. Ia telah dibeli oleh pelabur yang berspekulasi ke atas tanah.

Petani-petani Kanthan mengesyorkan tanah perindustrian yang terbiar ini digunakan untuk menempatkan kilang-kilang baharu yang ingin bertapak di situ.

Tolong jangan musnahkan kebun-kebun sayur yang sedang menghasilkan makanan untuk rakyat. Itulah seruan yang mahu dinyatakan oleh petani-petani kecil di kawasan Kanthan kepada kerajaan perpaduan Perak.

Kami berharap Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad boleh berjumpa dengan wakil petani bagi membincangkan perkara-perkara yang kami ketengahkan.

Selagi masalah ini belum diselesaikan secara baik untuk rakyat Perak, Menteri Besar harus mengarahkan PKNPk untuk mengelak daripada sebarang tekanan ataupun pengusiran terhadap petani di kawasan Kanthan.

Petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan harus dibenarkan untuk bercucuk tanam di atas tanah yang diusahakan mereka dan tidak harus diusir secara paksa.

Menghentikan pengusiran terhadap petani-petani kecil bukan sahaja untuk mempertahankan rezeki para penanam sayur-sayuran yang rajin mengusahakan tanah, malah bagi melindungi keterjaminan makanan bagi seluruh rakyat Malaysia. – UTUSAN

PERSATUAN PETANI MODEN CHEMOR, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya