Jangan abai, lupa jasa pensyarah - Utusan Malaysia

Jangan abai, lupa jasa pensyarah

PENSYARAH juga adalah golongan pendidik yang memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik dan intelektual negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TARIKH 16 Mei yang baru berlalu sudah sinonim dan sebati dengan kita sebagai tarikh sambutan Hari Guru.

Tarikh ini disambut bagi menghargai peranan dan sumbangan guru dalam kehidupan kita, sama ada bagi individu yang masih belajar dan juga bagi mereka yang mempunyai anak-anak di bangku persekolahan.

Setiap tahun, pelbagai sambutan diadakan, baik kecil-kecilan atau gilang-gemilang dengan penuh semangat dan kegembiraan bagi menghargai jasa dan pengorbanan golongan pendidik ini.

Pelajar sekolah tidak kira peringkat rendah dan menengah tidak ketinggalan menunjukkan penghargaan dengan meraikan dan memberikan cenderahati sebagai tanda terima kasih kerana memberi inspirasi dan membentuk mereka mengikut acuan modal insan yang positif.

Namun, tidak dapat dinafikan masih terdapat cakap-cakap bahawa orang ramai sering kali menyisihkan golongan pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) pada sambutan Hari Guru.

Pensyarah juga adalah golongan pendidik yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik dan intelektual negara. Guru dan pensyarah adalah tunjang penting pembangunan modal insan negara.

Mereka seharusnya dilihat sebagai pasangan yang saling melengkapi dalam proses ini. Usai pengajaran peringkat menengah, ‘baton’ akan diserahkan pula kepada golongan pensyarah bagi memperkukuh, mencorak dan memperkasakan asas ilmu pengetahuan yang telah disediakan oleh guru.

Sebagai penyumbang ilmu, pensyarah bertanggungjawab memberikan sumbangan berdasarkan kepakaran dan pengalaman mereka mengikut jurusan bidang pengajian pelajar di peringkat pengajian tinggi.

Pelajar di peringkat tertiari kini akan menumpukan pengkhususan ilmu dalam kelompok lebih kecil berbanding zaman persekolahan.

Asas pendidikan am sedia ada dalam sistem diri pelajar kini dicorak dengan lebih komprehensif oleh pensyarah agar dapat menghasilkan graduan berkepakaran khas bagi menyokong dan menyumbang tenaga dalam memacu pembangunan negara.

Pengetahuan teori sahaja tidak mencukupi. Maka, pengalaman berharga dimiliki pensyarah ditagih dalam merapatkan jurang ilmu teori dan amalan yang dipraktiskan bagi melengkapkan kemahiran pelajar agar sudah dan sentiasa bersedia apabila memasuki alam pekerjaan kelak.

Bagi melahirkan graduan yang lengkap dan kompeten, golongan pensyarah sentiasa komited dalam memberikan pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi dengan menggunakan kaedah dan teknik pengajaran terkini dan berkesan.

Selain menyebarkan pendidikan bidang khusus, pensyarah turut bertanggungjawab dalam pembangunan dalaman dan kemahiran insaniah.

Pensyarah juga harus dihargai dalam usaha mereka memberikan sokongan moral dan motivasi bagi meningkatkan keyakinan pelajar.

Di samping ibu bapa dan rakan sebaya, golongan pensyarah juga memberi impak tinggi kepada perwatakan dan tingkah laku kumpulan pelajar peringkat IPT ini.

Pensyarah dipandang tinggi dan bahkan turut dijadikan ikon contoh pelajar apabila sentiasa menunjukkan sikap dan nilai menghormati dan menghargai, memberikan panduan dan nasihat serta memberikan maklum balas berkesan dan konstruktif.

Di tahap umur pelajar yang lebih matang berbanding zaman persekolahan menengah, pensyarah juga mendidik anak didik mereka dalam memahami tanggungjawab agar menjadi warganegara yang beretika dan bertanggungjawab.

Dalam menjiwai semangat Malaysia Madani, kita sebagai masyarakat yang memegang falsafah inklusif, perlu menghargai semua jenis pendidik sama ada di peringkat pendidikan rendah, menengah dan tertiari.

Kita seharusnya mengiktiraf peranan dan keringat mereka dalam membentuk generasi akan datang yang berilmu dan berdaya tahan. – UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.