Gempa bumi: Antara polisi, inovasi dan agama - Utusan Malaysia

Gempa bumi: Antara polisi, inovasi dan agama

Semakin ramai telah menyedari bahawa Malaysia tidak terlepas dari bencana gempa bumi meskipun berada di luar Lingkaran Api Pasifik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMAKIN ramai telah menyedari bahawa Malaysia tidak terlepas dari bencana gempa bumi meskipun berada di luar Lingkaran Api Pasifik. Beberapa siri kejadian gempa bumi kuat dengan julat magnitud antara 5.3 – 6.3 pernah melanda Sabah dan Sarawak sejak 1923 sehingga 2015.

Semenanjung Malaysia juga tidak terkecuali. Beberapa gegaran gempa bumi di Terengganu, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan dengan julat magnitud antara 1.6 – 4.6 pernah juga terjadi sejak 1984 sehingga 2013.

Selain itu, negara kita akan turut merasakan gegaran gempa bumi yang terjadi di negara-negara jiran terutamanya Indonesia dan Filipina kerana kedudukannya yang terletak berhampiran dua sempadan pertembungan kepingan yang aktif keseismikannya.

Ia melibatkan Kepingan Indo-Australian dan Kepingan Eurasian di sebelah barat serta Kepingan Eurasian dan Kepingan Laut Filipina di sebelah timur.

Terkini, beberapa kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia merasakan gegaran akibat gempa bumi kuat bermagnitud tujuh yang melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada awal pagi 25 April lalu.

Pelbagai inisiatif sama ada menerusi formulasi polisi dan inovasi teknologi telah diusahakan oleh agensi berwajib berdasarkan kepada prinsip pengurusan risiko bencana iaitu pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan.

Perlu disedari, persediaan menghadapi gempa bumi bukan hanya melibatkan polisi dan inovasi, bahkan berkait rapat dengan aspek kemanusiaan dan agama.

Usaha pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan tidak boleh mengabaikan dua aspek itu. Pengurusan pusat mangsa bencana dan khidmat nasihat kaunseling wajar diperkasakan dengan melibatkan institusi dan komuniti agama.

Agama dan gempa bukanlah dua perkara yang terpisah. Sejarah Islam telah menukilkan kisah-kisah gempa bumi pada zaman para nabi dan sahabat yang memberikan banyak iktibar.

Di dalam al-Quran dan hadis juga terdapat kalimat yang sinonim dengan gempa bumi seperti al-zalzalah yang bermaksud gegaran bawah tanah yang kuat dan goncangan semula jadi bumi dan al-rajfah bermaksud gegaran dan goncangan.

Justeru, menjaga keseimbangan bumi bukan hanya melalui formulasi polisi dan inovasi teknologi, tetapi melalui interpretasi wahyu dan penyucian rohani dalam usaha mencegah, bersiap sedia, bertindak dan memulih impak gempa bumi. – UTUSAN

DR. MOHD ISTAJIB MOKHTAR, Fakulti Sains, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya