Dana anjur kejohanan bola sepak pekak belum cukup

Dana anjur kejohanan bola sepak pekak belum cukup

ATLET pekak telah berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia melalui beberapa sukan yang diceburi termasuk bola sepak. – IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) sejak sekian lama telah melalui pelbagai rintangan dan ujian sehingga timbul banyak persoalan, adakah atlet warga pekak di negara ini tidak mendapat pembelaan sewajarnya berbanding orang kurang upaya (OKU) dari sukan kategori lain (bukan pekak)?

Pada masa sama, dalam usaha MSDeaf mengetengahkan atlet-atlet pekak ini, persatuan sentiasa bergelut untuk terus berdiri sama tinggi dan sama gagah setaraf atlet normal.

Walaupun menghadapi pelbagai halangan, MSDeaf tidak pernah berputus asa untuk meminta pihak atasan membantu para atlet pekak yang setakat ini berjaya membuktikan kehadiran mereka tidak sia-sia. Malah mereka berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia melalui beberapa sukan diceburi.

Terbaharu, kita dikejutkan dengan berita duka pendaki Malaysia Everest 2023, Muhammad Hawari Hashim yang juga OKU pekak, hilang setelah berjaya menakluk puncak Everest pada 18 Mei lalu.

Dalam pada itu, perlu diingatkan, melalui pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tertera pula dalam portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), terdapat tujuh kategori OKU yang disenaraikan serta diiktiraf oleh kerajaan.

Tujuh kategori OKU itu ialah kurang upaya pendengaran (pekak), kurang upaya penglihatan, kurang upaya pertuturan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya mental dan kurang upaya pelbagai. Terima kasih JKM, SPA dan kerajaan kerana mengiktiraf kehadiran OKU termasuk orang pekak.

Mengikut Akta Orang Kurang Upaya 2008, OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi akan mengalami pelbagai halangan, sudah pasti menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Untuk pengetahuan rakyat Malaysia, negara ini dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia Keempat bermula 23 September hingga 7 Oktober ini.

Kejohanan berprestij tersebut setaraf bola sepak Piala Dunia anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Kali terakhir kejohanan bola sepak pekak dunia ialah pada 2016 di Turkiye sebelum dihentikan sementara berikutan penularan Covid-19.

Kejohanan kali ini akan disertai 24 negara melibatkan 24 pasukan lelaki dan 10 pasukan wanita. Namun, pemilihan sebagai tuan rumah belum menggembirakan MSDeaf yang menjadi penganjur disebabkan terdapat kekangan sumbangan tajaan bagi merealisasikan kejohanan tersebut.

Di sini, MSDeaf merayu kerajaan, Majlis Sukan Negara, syarikat-syarikat korporat dan swasta serta pertubuhan sukarela termasuk orang ramai agar memberi bantuan serta sumbangan terutama dari segi kewangan.

Tempoh penganjuran itu semakin hampir dan kira-kira separuh persiapan sedang dilakukan, namun kekurangan kewangan menjadi masalah utama.

Kegagalan menyediakan peruntukan secukupnya boleh menyebabkan penganjuran kejohanan itu kelak mengalami kepincangan dan ini boleh menjejaskan nama baik negara selaku tuan rumah.

MSDeaf merayu semua pihak membantu bagi merealisasikan ia menjadi kenyataan, bantulah MSDeaf. Orang ramai yang ingin membuat pertanyaan dan membantu MSDeaf boleh menghubungi talian 014-5396020 atau 011-11156050.-UTUSAN

KAMARZAMAN HARUN
Setiausaha Agung
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya