SAUDARA PENGARANG,
SAYA merupakan pengguna jalan raya di sepanjang jalan dari simpang Maktab Teknik Polis Bakri di Muar, Johor Bahru ke Jalan Kampong Tengah Sungai Terap. Untuk sampai ke lokasi, saya perlu melalui Jalan Batu Nampak dan Kampung Tengah Sungai Terap.
Saya mendapati jalan-jalan tersebut sepatutnya sudah lama dinaik taraf dengan melebarkan laluan memandang sepanjang 4.5 kilometer (km) perjalanan terdapat enam taman perumahan, tiga kawasan industri (kilang) dan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) selain sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.
Untuk makluman laluan ini berlaku kesesakan terutama ketika waktu puncak seperti awal pagi, tenghari dan petang. Disamping itu juga terdapat simpang laluan masuk ke kawasan kampung yang sesak.
Kenderaan yang banyak terutama ketika sesi pagi persekolahan dan ia serentak dengan pekerja kilang ke tempat kerja menjadikan jalan tersebut semakin sempit hinggakan tiada laluan bagi motosikal.
Jika ada motosikal dihadapan dan ada kenderaan dilaluan bertentangan, kita terpaksa memperlahankan kenderaan.
Saya merayu kepada Yang Berhormat (YB), ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk meninjau keadaan ini. Jika sekali pun tiada bajet untuk melebarkan jalan, setidak-tidaknya bolehlah dibesarkan setiap laluan masuk di setiap simpang jalan.
Ini bagi memudahkan pengguna agar tidak perlu menunggu kenderaan yang akan membelok ke simpang disebabkan jalan yang sempit. Bahkan dapat menggelakkan kenderaan membuat beberapa laluan memotong yang menjadi antara penyebabkan kesesakan lalu lintas.-UTUSAN
DZANMUO
Bakri, Muar