SAUDARA PENGARANG,
RAMAI sedia maklum, pelaburan boleh memberi keuntungan lumayan untuk menjamin kestabilan kewangan peribadi yang kukuh. Namun, ramai tidak sedar kebaikan permulaan pelaburan awal terutama golongan muda. Melabur pada usia muda adalah satu kaedah paling pintar dan termudah untuk membina kekayaan besar kelak.
Antara sebab utama untuk mula melabur dari awal adalah untuk menangani inflasi. Kita seringkali mendengar inflasi dalam sorotan akhbar mahupun berita di televisyen, namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan inflasi? Secara umumnya, inflasi merupakan kenaikan harga yang berlaku bagi barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa tertentu. Kadar inflasi lazimnya diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga item-item di dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa.
Kesan daripada inflasi, kuasa beli mata wang akan berkurang dan mendorong orang ramai untuk berbelanja dan menyimpan aset yang bertambah nilainya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022. Hal demikian ini kerana kenaikan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.
Bagaimanapun, inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021. Tidak mustahil peratusan tersebut akan kekal meningkat untuk tahun ini dan tahun- tahun mendatang. Hal ini disebabkan keadaan dunia tidak stabil menyebabkan jumlah sumber semula jadi diimport dan diekspot menjadi terhad sehingga mengakibatkan peningkatan harga komoditi yang begitu drastik.
Oleh itu, jika kita mula melabur di usia muda, kita akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang situasi tidak menentu pada masa akan datang dengan baik dan cekap.
Lebih banyak anda melabur, lebih banyak anda dapat pada masa hadapan. Tabiat ini akan membuatkan anda lebih cenderung untuk berjimat dalam perbelanjaan, mengurangkan sebarang pembelian tidak perlu.
Ini semua hanya semata-mata bagi memastikan diri memiliki lebihan duit untuk melabur.
Belajar berjimat dan menyimpan pada usia muda, bahkan daripada tabiat itu, kita berpotensi menggandakan angka simpanan. Bukankah ia satu usaha yang baik?-UTUSAN
MUHAMAD AFIQ ARSYAD AWANG@ TARMIZI & PROFESOR MADYA DR. NURADLI
RIDZWAN SHAH MOHD. DALI
Fakulti Ekonomi & Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)