Kenapa nak halang Dr. M bercakap pasal Melayu?

Kenapa nak halang Dr. M bercakap pasal Melayu?

DR. Mahathir Mohamad menandatangani borang Proklamasi Orang Melayu di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Putra Malaysia pada 19 Mac lalu. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMUA pihak yang tidak bertanggungjawab harus berhenti memfitnah dan mencemarkan reputasi Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya bekas Perdana Menteri itu hendak menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila bercakap secara proaktif mengenai masa depan orang Melayu.

Tiada masalah bercakap atau berbincang mengenai kedudukan anak bangsa Melayu tanpa menyentuh sensitiviti agama, raja-raja Melayu dan mempertikaikan hak kaum-kaum lain di negara ini.

Malah Perlembagaan Persekutuan termaktub secara jelas mengenai hak-hak orang Melayu untuk dibincang atau mempertahankan pada setiap masa tanpa sebarang elemen provokasi.

Mengapa pada pemikiran kerajaan madani mentohmah tindakan bekas perdana menteri itu sebagai satu gerakan untuk menganjurkan kacau-bilau ke arah hendak menumbangkan kerajaan sedangkan hakikatnya, Dr. Mahathir seringkali mengingatkan serta memberi arahan kepada kami agar tidak terlibat dengan mana-mana gerakan untuk menjatuhkan kerajaan selain harus meletakkan kepentingan bangsa dan negara di atas kepentingan politik?

Sebenarnya, terdapat segelintir pihak cuba mencemarkan reputasi Dr. Mahathir secara membuat satu ‘jenama’ seolah-olah beliau gemar mengganggu-gugat kestabilan landskap politik tanah air kita sekali gus memberi gambaran bekas perdana menteri itu seorang tokoh yang tidak bertanggungjawab, berniat jahat dan hanya mementingkan legasi peribadi semata-mata tanpa memikirkan kepentingan bangsa serta negara.

Ramai orang Melayu menyokong niat Dr. Mahathir menganjurkan majlis Proklamasi Orang Melayu secara tertutup berlandaskan perjumpaan golongan ‘tidak berparti’ dengan jemputan terhad 350 orang sahaja untuk mencari satu formula menyelesaikan segala polemik bangsa Melayu yang belum selesai selaras dengan perlembagaan negara tetapi dibatalkan atas arahan pihak tertentu.

Kita hanya ingin mencari satu kaedah bagi menjamin kesejahteraan masa depan orang melayu tanpa menyalahi atau menyentuh hak kaum-kaum lain.

Berpuluh tahun pemimpin-pemimpin kerajaan madani bercakap mengenai reformasi, kebebasan bersuara dan demokrasi tetapi malangnya hari ini mereka semua kelihatan hanya ‘beretorika’ semata-mata.

Sungguh memalukan di alaf moden dengan kerajaan yang kononnya ditunjang oleh tokoh reformasi menyekat serta menghalang atau menafikan hak-hak orang lain dalam sebuah negara yang mengamalkan amalan demokrasi.-UTUSAN

KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.