Jangan hina Menu Rahmah

Jangan hina Menu Rahmah

PELAKSANAAN Menu Rahmah boleh ditambah baik bagi menjamin integriti halal, kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan yang dihidangkan kepada rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PROGRAM Menu Rahmah, iaitu satu inisiatif di bawah Payung Rahmah yang digerakkan dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bersama rakan strategik selepas mengambil kira tekanan rakyat akibat peningkatan pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

Namun, disebalik kemeriahan rakyat menikmati hidangan Menu Rahmah ini, terdapat hinaan dan cercaan yang tidak ‘rahmah” dari segelintir rakyat Malaysia mahupun ahli politik.

Seorang ahli Parlimen mempersoal inisiatif ini dengan menggambarkannya sebagai makanan berkualiti rendah yang mampu menyebabkan risiko kesihatan seperti penyakit kanser dan autism kepada masyarakat B40. Malah, seorang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mempertikaikan hidangan tersebut yang hanya ada seekor ikan, sedikit sayur dan tiada kuah. ADUN tersebut memperleceh menu berkenaan dengan menuang air oren untuk dijadikan sebagai kuah.

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah di dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin, seorang Muslim seharusnya berpuas hati dengan makanan diperoleh pada masa ini. Jangan mengkritik makanan yang dihidangkan jika tidak digemari, tidak boleh dimakan atau tidak kelihatan memikat. Sebaliknya, diam atau pilih untuk tidak memakan makanan tersebut.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan Menu Rahmah boleh ditambah baik bagi menjamin integriti halal, kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan yang dihidangkan kepada rakyat. Makanan yang halal dan dianggap selamat adalah makanan yang bebas daripada bakteria patogen, racun, toksin serta bebas daripada najis mahupun bahan buangan lain.

Atas sebab ini, peniaga Menu Rahmah perlu memastikan bahawa penyediaan, pemprosesan makanan yang bermula dari penerimaan bahan mentah sehingga ke hidangan siap adalah bersih dan selamat.

Proses ini memerlukan jaminan amalan pengendalian makanan yang bersih, menjaga kebersihan diri, mengekalkan persekitaran premis yang bersih, mengekalkan peralatan pemprosesan makanan yang sesuai dan bersih serta mengekalkan kaedah dan bekas yang selamat untuk menyimpan makanan.

Malah, semua peniaga makanan diwajib mendapat latihan pengendalian makanan daripada sekolah latihan pengendalian makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan. Hal ini supaya mereka dapat memahami keperluan kebersihan dan keselamatan makanan mengikut keperluan undang-undang yang digariskan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.-UTUSAN

MUHAMMAD IRHAMMUDIN IBRAHIM
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya