SAUDARA PENGARANG,
SEKARANG kerap kita mendengar ungkapan orang Melayu sudah berpecah kerana wujudnya pelbagai parti Melayu di persada politik tanah air. Maka, inilah salah satu sebab kenapa Sekretariat Tanah Air mewujudkan Proklamasi Orang Melayu.
Ia yang baru dilancarkan pada 19 Mac lalu adalah satu proklamasi orang Melayu yang melangkau batasan kepartian, bukan untuk mana-mana parti politik atau kumpulan.
Proklamasi dibuat untuk orang Melayu. Untuk menyedarkan orang Melayu di manakah kedudukan mereka di Tanah Melayu ini.
Ia untuk menyatukan orang Melayu. Hanya dengan penyatuan orang Melayu maka kejayaan akan dapat dicapai bagi menjamin masa depan mereka.
Proklamasi Orang Melayu ini mendapat sokongan daripada negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin Melayu. Ramai lagi akan menyusul.
Tiada apa-apa yang rasis dalam kandungan Proklamasi Orang Melayu dan bukan niat kami untuk meniup sentimen perkauman mahupun mencetuskan keadaan huru-hara di dalam negara tercinta ini, apatah lagi merampas hak kaum lain.
Tidak disebut sepatah pun mengenai mana-mana kaum di atas bumi ini selain orang Melayu. Proklamasi ini semata-mata untuk mengimbau kelemahan dan memberi kesedaran serta menyeru penyatuan orang Melayu.
Seruan adalah untuk orang Melayu menghayati 12 perkara yang tercatat di dalam proklamasi ini dengan perhatian perlu diberikan kepada perkara kesembilan iaitu pemulihan bangsa Melayu hanya akan berjaya jika mereka kembali bersatu.
Justeru, kita menyeru supaya ketepikan kepentingan parti dan diri sendiri. Bertautlah semula demi agama, bangsa dan negara. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air