Sedih pelajar U melarat macam pekerja asing - Utusan Malaysia

Sedih pelajar U melarat macam pekerja asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas laporan khas Utusan Malaysia pada 27 Januari lalu mengenai kadar sewa kediaman yang mahal dan kos sara hidup tinggi yang dialami pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar.

Ini menyebabkan mereka terpaksa berhimpit-himpit dalam satu rumah sehingga 20 orang selain ada yang bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.

Bagi pelajar yang ibu bapa berkemampuan tiada masalah tetapi yang miskin sudah tentu harus mengikat perut dan perlu banyak berkorban masa dan tenaga untuk mengharungi kehidupan sebagai pelajar dalam suasana yang serba-serbi mahal sekarang ini.

Bagi saya situasi yang dialami pelajar terbabit tidak jauh bezanya dengan pekerja warga asing yang duduk berhimpit-himpit di dalam sebuah rumah sehingga berpuluh-puluh orang.

Siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini, pemilik rumah, pihak universiti atau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)?

Di rumah sama yang padat, mereka membaca, membuat tugasan sehinggalah memasak dan keadaan sudah tentu memberi kesan kepada keselesaan untuk mengulang kaji pelajaran.

Keadaan tanpa privasi begini bolehkah menjamin pelajar dapat belajar dengan baik, berehat tanpa gangguan dan dapat menghasilkan tugasan bermutu dan keputusan peperiksaan cemerlang? Jawapannya sudah tentu tidak dan perkara ini sewajarnya mendapat reaksi segera dari pihak universiti dan KPT.

Di pihak kerajaan, carilah jalan penyelesaian agar masalah perumahan pelajar ini dapat diatasi supaya mereka tidak ditindas dan dieksploitasi oleh pemilik rumah.

Janganlah dibiarkan masalah tempat tinggal pelajar ini berlarutan tanpa ada jalan penyelesaian kerana pengambilan mahasiswa tetap dibuat setiap tahun dan masalah sama akan terus berlaku.

Akhir sekali, peluang melanjutkan pelajaran ke menara gading adalah masa untuk pelajar mencari seberapa banyak ilmu dan bukannya hidup melarat seperti gelandangan. – UTUSAN

IKAN SARDIN, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya