Kurang jumlah hari bukan penyelesaian isu kos haji meningkat - Utusan Malaysia

Kurang jumlah hari bukan penyelesaian isu kos haji meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENINGKATAN kos untuk menunaikan ibadat haji bagi jemaah Malaysia merupakan isu yang sering berkumandang saban tahun. Menurut Pengarah Eksekutif Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, kos haji pada tahun ini dianggarkan RM31,000.

Justeru, pelbagai kaedah telah dicadangkan bagi mengurangkan kos termasuk memendekkan bilangan hari ibadat tersebut. Walaupun cadangan sebegini sekali imbasnya kedengaran logik, namun kos haji tidak akan berkurangan secara signifikan dengan memendekkan bilangan hari di tanah suci.

Pada tahun ini, kemungkinan Malaysia menerima kuota haji tambahan seperti yang berlaku pada 2017 apabila kerajaan Arab Saudi menaikkan kuota sehingga 42,200 orang. Ini akan memberikan implikasi besar terhadap pengurusan logistik TH dan menaikkan kos walaupun bilangan hari dikurangkan.

Ini bermakna cadangan mengurangkan bilangan hari di tanah suci bukan sahaja tidak mengurangkan kos haji, malah mungkin boleh menambahkan kos, terutama untuk menguruskan logistik di waktu puncak.

Tempoh kerja haji yang singkat pada hakikatnya tidak memberikan kesan ketara ke atas kos makan dan minum kerana penghasilan makanan dijalankan secara pukal dari dapur pusat.

Terdapat satu cara bagi mengurangkan kos haji dengan drastik dan telah diamalkan di negara-negara lain seperti Indonesia, Pakistan dan India iaitu dengan menyewa hotel yang jaraknya lebih jauh dari Masjidil Haram atau Madinah (lima hingga 10 kilometer). Penyewaan hotel sebegini boleh mengurangkan kos haji melebihi separuh.

Kendatipun begitu, TH terpaksa menampung satu lagi kos logistik iaitu pengangkutan pergi dan balik ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Tentu sekali memilih hotel yang jauh dari dua masjid tersebut bukan penyelesaian yang diingini oleh jemaah jika semata-mata mengharapkan kos haji yang murah.

Malahan, adalah satu perkara yang tidak munasabah jika mengharapkan TH menyediakan pakej berbeza-beza untuk keseluruhan jemaah. Pada hakikatnya, panduan ibadat haji telah diberikan dalam syariat dengan pertimbangan utama ialah berkemampuan.

Jadi, TH perlu mengekalkan fokus untuk memberikan perkhidmatan terbaik tanpa berkompromi soal kualiti. Sebarang perbincangan untuk mengurangkan kos haji tidak harus menjejaskan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. – UTUSAN

DR. MOHAMED HADI ABDUL HAMID & DR. MOHD. ZAIDI MD. ZABRI, Universiti Malaya (UM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya