Kabinet bayangan hanya wayang politik?

Kabinet bayangan hanya wayang politik?

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan senarai nama barisan Kabinet bayangan khusus bagi menyelaras tindakan gabungan itu di Dewan Rakyat pada satu sidang akhbar di Kuala Lumpur pada 2 Februari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, sebuah perikatan politik mengumumkan barisan Kabinet bayangan khusus bagi menyelaraskan tindakan mereka di Dewan Rakyat. Hal ini sewajarnya disambut baik sebagai tanda kematangan berpolitik di negara kita.

Tambahan pula, di atas kertas, hal ini sangat baik demi mewujudkan mekanisme semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan yang sedang memerintah sekarang.

Namun, dikhuatiri bahawa hal ini sebenarnya adalah permulaan kepada lebih banyak ketidakstabilan politik di Malaysia.

Ia mungkin hanya sebuah episod baharu wayang politik yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi ia melibatkan pihak sama yang membangkitkan gejolak politik di Malaysia menerusi Langkah Sheraton beberapa tahun lalu.

Kabinet bayangan ini boleh dikatakan sebagai sebuah wayang politik semata-mata kerana ia tidak mempunyai apa-apa pengaruh kepada keputusan kerajaan sedia ada. Ia tidak mempunyai sebarang kuasa dan tidak boleh memaksa kerajaan dalam cara apa pun.

Benar bahawa Kabinet bayangan bebas mengkritik dan mencadangkan, tetapi kerajaan tidak punya apa-apa kewajipan untuk mendengar atau memberi respons. Ia sama seperti tin kosong.

Kita semua tahu betapa kuatnya tin kosong berbunyi. Apakah terdapat hasil yang nyata di sebalik bunyi bising ini?

Kabinet bayangan ini juga tidak mempunyai sumber-sumber dan kakitangan seperti kerajaan yang memerintah. Hal ini menyukarkannya mengemukakan cadangan secara lebih komprehensif.

Selain itu, cadangan berkemungkinan besar hanya bersifat populis dan dibina berdasarkan sentimen politik semata-mata, tanpa memikirkan kesan jangka panjangnya kepada kelangsungan negara kita.

Dalam pada itu, diumumkan bahawa Kabinet bayangan ini dibentuk bagi ‘membayangi’ dan memantau kementerian-kementerian tertentu.

Persoalannya, jika terdapat kementerian yang tidak mempunyai sebarang isu dan masalah, apa gunanya Kabinet bayangan ini?

Bukankah lebih baik jika Kabinet bayangan ini memfokuskan kepada isu-isu kesejahteraan nasional dan rakyat berbanding sebuah kementerian?

Bukankah sudah terdapat sejumlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang turut mempunyai misi sama seperti Kabinet bayangan ini?

Mungkin kewujudan banyak pihak yang mendakwa diri mereka sebagai ‘pemantau’ ini hanya akan menambah ‘kebisingan’ dan kerumitan kepada usaha-usaha kerajaan untuk menambah baik kehidupan rakyat di Malaysia, tanpa menawarkan sebuah penyelesaian sebenar.

Negara kita sudah terlalu berpecah dari segi politik terutamanya pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Pengumuman Kabinet bayangan ini mungkin akan lebih menggalakkan perpecahan di negara kita, pada saat perpaduan dan kerjasama sangat diperlukan sekarang.

Wayang politik ini mungkin tidak lebih daripada hanya sebuah perang psikologi politik oleh mereka yang hanya berminat untuk mengelirukan rakyat, semata-mata untuk menentang dan menunjukkan kebobrokan kerajaan sedia ada tanpa sebarang agenda bagi menambah baik sesuatu keadaan.

Tidak mustahil Kabinet bayangan ini merupakan bibit-bibit awal kemunculan pelbagai ‘langkah’ politik lain selepas ini, yang hanya menambah ketidakstabilan kepada negara kita.

Apa yang lebih penting sekarang adalah untuk semua pihak bekerja bersama-sama meskipun berbeza ideologi politik dan meletakkan kepentingan negara melebihi semua gerakan politik yang mereka rancangkan.

Sedarlah bahawa ada realiti kehidupan perit rakyat Malaysia di sebalik sandiwara politik mereka yang tidak berkesudahan ini. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN