Jangan biar pasangan tawar hati, pujuk segera

Jangan biar pasangan tawar hati, pujuk segera

TAWAR hati merupakan petanda jelas bahawa hubungan sedang berada dalam konflik bagi yang sudah berkahwin atau belum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HUBUNGAN suami isteri yang ideal, di dalamnya sentiasa ada kasih sayang dan sikap belas kasihan kepada pasangan. Namun, hubungan boleh menjadi pudar dan tidak harmoni disebabkan oleh satu perasaan tawar hati.

Tawar hati merupakan petanda jelas bahawa hubungan sedang berada dalam konflik, sama ada yang sudah berkahwin atau belum. Bila sudah tawar hati, mulalah rumah tangga menjadi dingin dan lama-kelamaan membawa kepada kehancuran.

Perasaan tawar hati boleh berlaku kepada kedua-dua belah pihak, baik suami mahupun isteri. Tawar hati lelaki ini kadang-kadang bersifat sementara tapi kebanyakannya menggunakan alasan ini untuk mencari pasangan baharu atau sudah bosan dengan pasangan lama.

Sebaliknya, wanita masih bersama tetapi lebih bertindak untuk tidak mempedulikan pasangannya. Antara tanda isteri sudah tawar hati ialah kurang bercakap, mudah rasa sensitif, mudah marah dan menjadi seorang yang berahsia.

Perasaan tawar hati ini sekiranya tidak dicegah dari awal akan menimbulkan pelbagai masalah. Hal ini kerana hati yang baik akan memandu setiap tindakan positif dalam kehidupan, begitu juga hati yang rosak akan menatijahkan tindakan negatif.

Salah satu cara untuk menangani rasa tawar hati pada peringkat awal ialah dengan mengingat kebaikan pasangan seperti kenangan-kenangan indah bersama sewaktu awal perkahwinan. Secara tidak langsung, perkara-perkara positif tentang pasangan mendominasi kelemahan dan kekurangan pasangan.

Selain itu, suami mahupun isteri perlu mengambil berat dan peka tentang pasangan walaupun hanya sebatas pertanyaan ringkas, mengingati dan melaksanakan perkara yang disukai pasangan selain jujur dalam berkomunikasi.

Tawan semula hati pasangan dengan bersungguh-sungguh menampakkan usaha untuk memujuknya kembali. Ketahuilah apabila pasangan sudah tawar hati terlalu lama, agak sukar untuk menyelamatkan ikatan perkahwinan tersebut. Cegah sebelum parah kerana tawar hati adalah perosak hubungan.

Perlu sedar dan menerima hakikat bahawa kedua-duanya datang dengan kekurangan dan kelemahan. Jangan mencari salah pasangan tetapi sebaiknya menutupi kesalahan dengan kelebihan lain yang pasti ada pada diri pasangan.

Juga, apabila menyayangi, jangan mengharapkan kesempurnaan kerana kesempurnaan yang sebenar adalah kesanggupan untuk melengkapkan kekurangan pasangan. Maka masing-masinglah yang saling menyempurnakan.-UTUSAN

NUR FAEZAH MUSTHAPAR
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya