Syarikat gergasi media sosial bayar pampasan RM107 juta selepas disaman - Utusan Malaysia

Syarikat gergasi media sosial bayar pampasan RM107 juta selepas disaman

META bersetuju membayar RM36 juta kepada badan pentadbiran sekolah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Beberapa syarikat gergasi media sosial bersetuju untuk membayar pampasan sekitar AS$27 juta (RM107 juta) kepada sebuah badan pentadbiran daerah sekolah-sekolah  di Kentucky, Amerika Syarikat (AS). 

Pampasan itu adalah sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah berhubung kes saman yang mendakwa platform itu menjadi punca kepada krisis kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Menurut dokumen mahkamah yang diteliti oleh agensi berita AFP pada Isnin, jumlah penyelesaian itu melibatkan bayaran AS$9 juta (RM36 juta) oleh Meta selaku syarikat induk Facebook.

Sementara itu, syarikat induk Snapchat iaitu Snap dan pemilik TikTok, ByteDance masing-masing akan membayar sebanyak AS$8 juta (RM31.7 juta).

Gergasi teknologi Google, yang turut memiliki platform YouTube akan membayar AS$2 juta (RM7.9 juta) dalam bentuk tunai.

Ia juga  menawarkan program latihan dan lesen perisian yang bernilai AS$900,000 (RM3.5 juta).

Kes berprofil tinggi ini dibawa oleh badan pentadbiran daerah sekolah Mukim Breathitt, sebuah kawasan luar bandar di timur Kentucky. 

Saman oleh daerah ini telah dipilih sebagai kes ujian bagi mewakili lebih 1,200 tuntutan mahkamah serupa yang difailkan oleh pelbagai daerah sekolah di seluruh negara itu.

Sebelum ini, daerah sekolah terbabit menuntut pampasan melebihi AS$60 juta (RM237.9 juta) bagi membiayai program kesihatan mental selama 15 tahun. 

Dana itu juga bertujuan untuk menampung kos memulihkan kesan negatif media sosial terhadap pelajar mereka termasuk masalah gangguan tidur, tekanan emosi dan konflik disiplin.

Kes ini sepatutnya dibicarakan di mahkamah di Oakland, California pada penghujung bulan ini sebelum keempat-empat syarikat berkenaan mengambil keputusan untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN