Jangan abai pengetua, guru besar - Utusan Malaysia

Jangan abai pengetua, guru besar

SEKOLAH adalah institusi sosial cukup penting dalam membentuk generasi berilmu dan berpersonaliti tinggi. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BELANJAWAN 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan peruntukan tertinggi untuk Kementerian Pendidikan (KPM), iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas.

Dari jumlah itu, sebanyak RM2.3 bilion melibatkan langkah menaik taraf 380 sekolah daif serta pembinaan tujuh sekolah baharu.

Sudah tentu KPM kini sedang dalam proses menentukan secara terperinci bagaimana peruntukan selebihnya akan diagihkan. Tidak juga dapat dipastikan berapa banyak akan diagihkan untuk menambah baik elaun bagi pengetua sekolah menengah dan guru besar sekolah rendah.

Jika kita masih ingat pada tahun lepas, pernah timbul isu tidak ramai mahu memegang jawatan sebagai pengetua dan guru besar kerana elaun masing-masing sebanyak RM300 dan RM200 sebulan tidak setimpal dengan tanggungjawab yang terlalu rencam dan mencabar.

Sekolah merupakan institusi sosial cukup penting dalam membentuk generasi berilmu dan berpersonaliti tinggi. Peranannya sebagai institusi pendidikan perlu bersifat dinamik dan mampu melaksana apa jua transformasi bidang pendidikan yang ingin dilaksana oleh kerajaan.

Justeru, ia perlu ditadbir urus oleh kepemimpinan berprestasi tinggi dengan ciri-ciri organisasi moden bersifat profesional. Dalam konteks ini, sekolah harus memiliki aspek kepemimpinan berkesan yang dapat menentukan kemajuan dan kejayaannya.

Pastinya, tunjang penting yang mendukung kejayaan transformasi sistem pendidikan ialah kepemimpinan berprestasi tinggi di setiap sekolah khususnya pengetua dan guru besar.

Sebagai institusi pendidikan profesional, sekolah memiliki peraturan, prosedur, perjawatan, carta dan manual organisasi serta deskripsi tugas.

Dalam aspek pembelajaran pula, sekolah mempunyai kurikulum, kokurikulum dan kaedah pembelajaran (pedagogi) tertentu yang telah dikuasai oleh guru-guru menerusi kursus dan latihan-latihan pendidikan secara profesional.

Kepemimpinan sekolah yang diterajui pengetua dan guru besar dilihat penting dalam menentukan pencapaian kesemua aspek tersebut khususnya keberhasilan dan kemenjadian murid.

Untuk memastikan sekolah diterajui kepemimpinan berprestasi, maka pemilihan dan pelantikan pengetua dan guru besar mestilah memenuhi kriteria kepemimpinan berprestasi tinggi bagi menunaikan segala tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik.

Antara ciri-ciri utama yang patut ada pada kepemimpinan sekolah yang baik ialah berinisiatif, dinamik, demokratik, proaktif, kreatif, inovatif, mempunyai kawalan serta arahan diri, bertanggungjawab, komited dan adil.

Dalam masa sama, pengetua dan guru besar berprestasi tinggi itu mesti berupaya menjalankan tugas sebagai pembimbing yang baik untuk membina keupayaan seluruh kakitangan sekolah di bawah kawalan dan jagaannya.

Pengetua dan guru besar wajar memastikan guru-guru memperkasa keilmuan dan profesionalisme mereka supaya dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) selari dengan transformasi atau perubahan-perubahan baharu dalam pendidikan negara.

Selain bertanggungjawab terhadap kelancaran pembelajaran dan pengajaran di sekolah, pengetua dan guru besar sebagai peneraju kepimpinan juga harus memahami bahawa persekitaran sekolah turut dikelilingi oleh komuniti luar.

Oleh itu, aspek keselamatan perlu diberi penekanan yang lebih. Sekolah memerlukan persekitaran yang selamat dan kondusif untuk guru dan pelajar.

Pengetua dan guru besar juga mesti membina hubungan yang baik dengan ibu bapa melalui persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya