Menunggu idea bernas kekang dera - Utusan Malaysia

Menunggu idea bernas kekang dera

ANGGOTA masyarakat perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapat bukti berlaku kes-kes penderaan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK akhir-akhir ini, kes mendera anak-anak kecil semakin meningkat. Terkini, tangkapan warga tempatan dilakukan kerana disyaki mendera dan menyebabkan kematian kanak-kanak berusia empat tahun di Johor.

Sedih kerana pengakhiran 2022 disajikan dengan berita menyayat hati sebegini. Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor yang mengambil tindakan pantas menangkap penjenayah terbabit.

Isu sama pernah saya utarakan dalam ruangan ini pada Ogos lalu dengan harapan semua pihak saling bantu-membantu bagi memastikan kejadian tragis sebegini tidak berterusan.

Masyarakat perlu meningkatkan sikap peduli dan ambil tahu. Dalam pada itu, sudah tiba masanya kerajaan perpaduan mengemukakan idea-idea bernas dan mengambil inisiatif sepertimana dilakukan di negara-negara maju dalam melindungi hak kanak-kanak untuk membesar tanpa adanya ancaman daripada mana-mana pihak termasuk darah daging sendiri.

Saya selaku seorang bapa amat tersentuh dengan apa yang berlaku. Sudah tiba masanya Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat diketuai Datuk Seri Nancy Shukri mengambil pendekatan baharu yang sesuai dengan keadaan semasa.

Perlu ditingkatkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang jenayah ini daripada terus berleluasa. Tidak cukup sekadar memperkenalkan Talian Kasih 15999, kementerian perlu merangka strategi lebih efektif.

Misalnya, menubuhkan pasukan sukarelawan di setiap taman perumahan yang dapat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Selamat

Saya membayangkan si kecil yang tidak berkeupayaan untuk mendapatkan bantuan, bagaikan bertempur di medan perang di dunia nyata sepertimana di Syria sehingga akhirnya mangsa trauma dan lebih sadis, meninggal dunia!

Kita tidak dapat bayangkan berapa kerugian dari segi pulangan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh negara ekoran kehilangan nyawa si kecil ini.

Saya berharap badan penguat kuasa lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Rukun Tetangga, ketua kampung, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hospital, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan senator turut memberi kerjasama.

Mereka harus turut sama berganding bahu merangka strategi kolaborasi sepertimana konsep Strategi Lautan Biru bagi mengekang kes penderaan secara habis-habisan.

Kita sebagai pemimpin di semua peringkat, bermula sebagai ketua keluarga akan disoal setakat mana amanah dilaksanakan apabila kembali ke alam akhirat.

Setiap anggota masyarakat termasuk jiran tetangga, guru, dari semasa ke semasa perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika ada bukti terdapat kes-kes mencurigakan melibatkan kesan pada tubuh si kecil.

Misalnya, terlihat kesan-kesan parut lama di badan mangsa. Tiada istilah ‘jangan jaga tepi kain orang’ yang mana ungkapan tersebut tidak tepat dalam keadaan masyarakat berkecamuk dengan isu kegawatan ekonomi dan pelbagai masalah sosial.

Malaysia sepatutnya menjadi negara selamat untuk diduduki kepada semua lapisan masyarakat dari bayi sehingga golongan warga emas.

Sekiranya kes dera masih berleluasa, bolehkan kita mendakwa Malaysia sebagai negara yang bebas dan selamat untuk diduduki? Di mana sikap prihatin kita? – UTUSAN

AZREE CHAN ABDULLAH, Permatang Pauh, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya