Kitalah pewaris mutlak alam sekitar

Kitalah pewaris mutlak alam sekitar

KEHADIRAN kita adalah sebagai khalifah dan akan dipertanggungjawabkan di atas segala kerosakan alam sekitar yang telah dikerjakan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI seorang mukmin, kita tidak terkecuali daripada tanggungjawab menjaga alam sekitar sebagai aset penting untuk kelestarian kehidupan. Ingatlah, alam sekitar adalah ciptaan Allah SWT dan setiap ciptaanNya pasti ada sebab dan fungsi.

Adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk memelihara alam sekitar kerana telah diamanahkan melalui sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud : “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim).

Al-Quran dan sunnah telah memberikan satu penekanan serius mengenai penjagaan alam sekitar dengan menyeru setiap manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah SWT yang agung.

Ia sama sekali melarang sebarang pencemaran dan kemusnahan di samping menggesa mereka untuk memanfaatkan khazanah alam ini dengan sebaiknya untuk kebaikan bersama di samping memeliharanya. Sesungguhnya usaha murni ini amat disanjung mulia bahkan dianggap sebagai ibadat yang agung di sisi Allah SWT.

Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya, keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ia mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran yang dikecapi.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib.  Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras konsep Islam Hadhari.

Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah SWT Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.

Justeru, setiap umat manusia perlu ingat bahawa kehadiran kita adalah sebagai khalifah di atas muka bumi yang juga milik Allah SWT. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja, seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala dikerjakannya.

“Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.” (Surah Al-Rum ayat 41)

Setiap perbuatan baik dan melaksanakan tanggungajawab itu pasti akan mendapat ganjaran setimpal. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil, Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana.-UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya