Harga emas dijangka terus turun sepanjang tahun ini

Harga emas dijangka terus turun sepanjang tahun ini

JONGKONG emas. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Trend penurunan harga emas dunia dijangka berterusan sepanjang tahun ini, dengan syarat tiada konflik geopolitik yang berpanjangan berlaku di Asia Barat.

Semalam, emas didagangkan pada AS$4,220 (RM17,130) seauns atau sekitar RM549 segram, antara harga yang terendah setakat ini.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, bagi minggu ini, harga emas dijangka bergerak dalam lingkungan RM540 hingga RM570. 

“Namun begitu, penurunan harga yang berlaku sejak kebelakangan ini dilihat hanya bersifat sementara dan tidak semestinya mencerminkan hala tuju jangka panjang logam berharga itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, secara tradisinya, harga emas mempunyai hubungan songsang dengan dolar Amerika Syarikat (AS).

“Apabila nilai dolar AS mengukuh dan kadar faedah yang ditetapkan bank pusat berada pada paras tinggi, harga emas lazimnya tertekan kerana pelabur lebih cenderung memegang mata wang yang menawarkan pulangan lebih baik. 

“Sebaliknya, kelemahan dolar serta persekitaran kadar faedah yang rendah biasanya menyokong kenaikan harga emas sebagai instrumen pelaburan alternatif,” katanya. 

Dalam masa sama, ujarnya, perkembangan geopolitik di Asia Barat terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi pasaran emas global. 

“Sebarang peningkatan ketegangan atau konflik yang mendorong kenaikan harga minyak berpotensi memberi kesan kepada pergerakan dolar AS dan seterusnya mempengaruhi permintaan terhadap emas sebagai aset selamat,” katanya.

Selain itu, jelasnya, pengukuhan dolar AS sejak kebelakangan ini turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada penyusutan harga emas. 

“Keadaan itu menyebabkan sebahagian pelabur, khususnya golongan berpendapatan tinggi dan institusi kewangan, melihat mata wang tersebut sebagai pilihan pelaburan yang lebih menarik berbanding emas.

“Dari sudut teknikal, paras sokongan harga emas dijangka berada pada RM540, manakala paras rintangan utama dikenal pasti pada RM580. 

“Pergerakan harga dalam tempoh terdekat dijangka terus dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi global, dasar kadar faedah serta situasi geopolitik semasa,” katanya.

Terdahulu, harga emas berada di bawah tekanan jualan yang kuat, sekali gus mempercepatkan kejatuhannya untuk hari kedua berturut-turut pada hari Rabu.

Logam berharga itu terus mencatat paras terendah dalam tempoh tiga bulan, jatuh di bawah AS$4,200, ketika para pedagang menantikan dengan penuh perhatian data Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat yang dijadualkan dikeluarkan kemudian hari ini.

Data CPI tersebut dijangka menjadi pemacu utama sentimen pasaran kerana ia boleh memberikan petunjuk baharu mengenai hala tuju inflasi dan kemungkinan keputusan dasar kadar faedah oleh bank pusat AS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN