PETALING JAYA: Skrin paparan dalam kenderaan moden yang menggabungkan hiburan dan fungsi (infotainmen) berpotensi menjejaskan fokus pemanduan dan menyumbang kepada kemalangan maut.
Menurut pakar, penggunaan skrin berkenaan mewujudkan dua bentuk gangguan serentak iaitu visual dan kognitif, seterusnya menjejaskan tumpuan pemandu.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, perkembangan teknologi automotif menyaksikan semakin banyak fungsi dalam kenderaan kini dikendalikan menerusi paparan digital berbanding kawalan mekanikal tradisional.
Katanya, keadaan itu menyebabkan pemandu perlu berinteraksi dengan skrin sentuh untuk mengakses pelbagai tetapan dan fungsi ketika kenderaan sedang bergerak.
“Kawalan melalui skrin sentuh tidak boleh digunakan secara intuitif tanpa pemandu perlu melihat dan mencari ikon atau fungsi tertentu, berbeza dengan kawalan mekanikal tradisional yang lazimnya boleh digunakan secara automatik berdasarkan ingatan dan kebiasaan.
“Walaupun pemandu hanya mengalihkan pandangan daripada jalan raya untuk tempoh yang singkat, risiko kemalangan boleh meningkat dengan ketara disebabkan kelajuan pergerakan kenderaan.
“Sebagai contoh, ketika memandu di lebuh raya pada kelajuan 100 kilometer sejam (km/j), sesebuah kenderaan bergerak hampir 28 meter setiap saat. Ini bermakna jika pemandu mengalihkan pandangan selama dua saat sahaja, kenderaan tersebut telah bergerak lebih 50 meter tanpa pemantauan terhadap keadaan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Media sebelum ini melaporkan, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dinaiki enam sekeluarga yang maut dalam nahas di Pinang Tunggal dipercayai baharu dibeli oleh seorang daripada mangsa dan diterima pada hari kejadian.
Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, pengeluar kenderaan perlu mengambil kira aspek keselamatan dan kemudahan penggunaan secara seimbang ketika membangunkan sistem kawalan dalam kenderaan moden yang semakin bergantung kepada teknologi digital.
Katanya, tidak semua fungsi sesuai dipindahkan sepenuhnya ke dalam skrin sentuh kerana terdapat fungsi tertentu yang memerlukan akses pantas dan mudah ketika pemandu berada di jalan raya.
“Pada pandangan saya, beberapa fungsi tertentu perlu terus dikekalkan dalam bentuk kawalan fizikal kerana ia memainkan peranan penting dalam aspek pemanduan dan keselamatan.
“Saya berpendapat pengeluar kenderaan wajar memastikan fungsi-fungsi berkaitan keselamatan sentiasa boleh diakses melalui butang atau suis fizikal.
“Gabungan kaedah kawalan yang paling optimum adalah dengan menggunakan antara muka digital bagi fungsi-fungsi lanjutan atau tujuan penyesuaian tetapan, manakala fungsi yang berkait secara langsung dengan pemanduan dikekalkan dalam bentuk kawalan fizikal.
“Antaranya, lampu kecemasan, sistem nyahkabus cermin hadapan, kawalan penghawa dingin, pelarasan kelantangan audio serta kawalan parameter utama yang berkaitan dengan pemanduan,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Prof. Datuk Ir. Mohamad Dalib berkata, kegagalan pengguna memahami fungsi sistem infotainmen dan pelbagai teknologi keselamatan yang terdapat dalam kenderaan moden merisikokan pemanduan sehingga membawa kepada kemalangan jalan raya.
Beliau berkata, masalah bukan terletak pada teknologi yang dipasang pada kenderaan sebaliknya sikap segelintir pemilik yang tidak mengambil inisiatif mempelajari fungsi sebenar sistem berkenaan.
Menurutnya, ramai pengguna membeli kenderaan yang dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dan bantuan pemanduan untuk tujuan ‘upgrade’ namun tidak mengetahui cara penggunaan yang betul.
“Ia (infotainmen) tidak menjahanamkan kenderaan. Masalah sebenar timbul apabila pengguna tidak meluangkan masa untuk mempelajari fungsi yang tersedia, menyebabkan mereka tidak dapat menggunakan teknologi berkenaan dengan betul.
“Teknologi dalam kereta hari ini dibangunkan untuk membantu pemandu dan meningkatkan keselamatan. Jika pengguna tidak memahami cara ia berfungsi, teknologi itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya malah boleh mengundang risiko,” katanya. – UTUSAN










