Kedamaian Islam yang disalah anggap

Kedamaian Islam yang disalah anggap

PEPERANGAN dalam Islam adalah demi mempertahankan tanah dan hak. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ADA persepsi bahawa Islam adalah agama yang jauh dari kata perdamaian. Munculnya pandangan seperti ini kerana mereka berpendapat bahawa jihad menghalalkan segala cara memerangi orang-orang yang memusuhi Islam.

Hal ini lebih jelas apabila media melabelkan umat Islam sebagai pengganas melalui fiem, drama atau berita. Secara tidak langsung, mereka yang menonton akan bersetuju bahawa orang Islam ialah pengganas.

Islam mendidik umatnya dengan pegangan agama yang tinggi serta meletakkan manusia sebagai makhluk ciptaan Allah SWT cukup dengan akal fikiran dan saling mengenali antara satu sama lain.

Peperangan dalam sejarah Islam bersifat mempertahankan dan bukan sesekali dalam bentuk menyerang.

Masyarakat dunia hanya didedahkan dengan serangan penduduk Gaza terhadap Israel sedangkan mereka hanya mempertahankan hak. Hak mereka sebagai kanak-kanak tidak dirasai. Hak sebagai generasi muda yang perlukan pendidikan tidak dapat dipenuhi. Hak seorang wanita untuk dihormati dan dilindungi tetapi mereka mendapat layanan sebaliknya. Hak-hak sebagai manusia telah dirampas sejak dahulu lagi.

Walaupun peperangan tercetus, ia demi mempertahankan tanah serta hak perdamaian seperti dikatakan dalam Islam. Persiapan berperang adalah untuk menjaga perdamaian dan peperangan yang tercetus bagi mencegah kerosakan daripada penjahat. Kelalaian dalam mempersiapkan kekuatan perang hanya membuka ruang diperangi dan dihancurkan oleh musuh.

Islam yang disebarkan dan diajarkan oleh Nabi Muhammad merupakan agama yang ditujukan demi kesejahteraan dan keselamatan seluruh umat sekalian alam. Islam mengajarkan umatnya untuk selalu menegakkan perdamaian di dunia sehingga persaudaraan dapat terjalin dengan erat. Islam juga mengajar bagaimana menghadapi perpecahan dan segala perselisihan yang bermaksud memecah-belahkan umat.

Nilai-nilai perdamaian pada hakikatnya banyak termaktub dalam al-Quran dan juga secara jelas diindikasikan dalam pelbagai riwayat hadis. Tidak ada satu ayat pun dalam al-Quran, dan tidak ada satu hadis pun yang mengobarkan semangat kebencian, permusuhan, pertentangan atau segala bentuk peri laku negatif dan represif yang mengancam kestabilan serta kualiti kedamaian hidup.-UTUSAN

PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR DAN RAIHANA JAMAN

Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya