Jangan berani sentuh duit KWSP - Utusan Malaysia

Jangan berani sentuh duit KWSP

WANG caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) amat penting untuk kegunaan pekerja selepas mereka bersara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PELBAGAI langkah drastik diperkenalkan oleh kerajaan bagi memastikan semua pihak yang terjejas dengan penularan virus Covid-19 dapat meneruskan kehidupan mereka.

Antara langkah yang diambil adalah dengan membenarkan orang ramai mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, langkah itu tidak boleh berterusan kerana wang caruman amat penting untuk kegunaan pekerja selepas mereka bersara kelak.

Adalah penting untuk kita ketahui, dengan kemajuan dunia sains dan teknologi perubatan, umur manusia semakin lama semakin panjang.

Pemanjangan had usia manusia menuntut semua pihak untuk lebih bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan luar jangka terutama dari aspek kewangan. Apabila usia meningkat, lebih banyak wang diperlukan dalam kehidupan kita.

Ini kerana peningkatan usia manusia akan memberi kesan terhadap kehidupan seharian mereka terutama dari aspek kesihatan. Usia lanjut akan menyebabkan tahap kesihatan kita menurun.

Penurunan tahap kesihatan akan mengundang kepada pelbagai jenis penyakit. Bagi merawati penyakit-penyakit ini, kita memerlukan wang bagi melakukan proses rawatan.

Usia lanjut juga akan menyukarkan proses carian kerja kerana tenaga pun semakin berkurangan. Ini akan membantutkan lagi usaha untuk mencari sumber pendapatan apabila kita semua sudah sampai pada usia bersara kelak.

Ramai majikan di luar sana pun lebih gemar mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan orang muda yang lebih sihat dan bertenaga.

Oleh itu, penting supaya kita memiliki sumber kewangan yang benar-benar kukuh bagi menampung kehidupan selepas bersara.

Orang ramai perlu memiliki simpanan wang yang mencukupi untuk menghadapi waktu-waktu kecemasan. Jadi, jangan berani sentuh duit KWSP lagi. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya