Jaga alam sekitar bersifat kosmetik semata-mata - Utusan Malaysia

Jaga alam sekitar bersifat kosmetik semata-mata

KEADAAN banjir lumpur yang melanda Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang pada 20 Disember lalu. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 20 Disember lalu, kita dikejutkan dengan satu lagi insiden banjir lumpur di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.

Walaupun tiada kehilangan nyawa tetapi ini bukan kali pertama penempatan tanah tinggi dan kawasan pelancongan itu dilanda banjir.

Banjir besar pertama di Cameron Highlands berlaku akibat pelepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar pada 2013. Kemudian diikuti banjir besar di beberapa tempat selepas hujan lebat pada 2014.

Selepas itu, insiden banjir di Cameron Highlands kerap berlaku setiap kali hujan lebat. Iklim bumi sedang berubah dan tidak lagi mengikut trajektori seperti diramalkan akibat pembebasan melampau gas rumah hijau, seperti karbon dioksida (CO2) dan metana (CH4).

Perkara ini diketahui lebih sedekad lalu dan oleh sebab itu, tidak munasabah untuk menyalahkan perubahan cuaca sahaja sedangkan kita tidak membuat persiapan untuk menghadapinya.

Ada pihak menyalahkan penerokaan tanah untuk pertanian di puncak sebuah bukit bersebelahan Kampung Raja sebagai punca banjir lumpur kali ini.

Jika tuduhan itu tidak betul, mengapakah tiada kenyataan balas atau pena­fian daripada kerajaan negeri sehingga hari ini? Adakah penerokaan tanah itu telah mendapat kelulusan?

Antara punca banjir terus berlaku adalah kerana langkah-langkah pencegahan oleh kerajaan negeri yang dimulakan sejak banjir besar pada 2014 adalah bersifat kosmetik semata-mata.

Langkah-langkah ini melibatkan reformasi dalam pemberian hak milik dan penerokaan tanah. Antaranya penubuhan Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands pada 2015.

Reformasi lain adalah penukaran pemberian lesen pendudukan sementara (TOL) melibatkan 5,519 hektar daripada kerajaan negeri kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang pada 2019.

Penyewa tanah PSK mesti memiliki Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) yang dikeluarkan Jabatan Pertanian. Langkah lain adalah penubuhan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) pada 2019 sebagai badan yang memastikan pembangunan mampan di situ.

Walaupun semua usaha di atas nampak seperti menuju ke arah mewujudkan pembangunan mampan di Cameron Highlands, namun hakikatnya tidak. Isu akar seperti ketelusan pemberian hak milik tanah pertanian masih tidak selesai.

Bagaimanakah PSK dan PKCH boleh membawa perubahan sedangkan ia dianggotai oleh kumpulan elit sama yang sebelum ini tidak dapat menyelesaikan masalah alam sekitar di Cameron Highlands?

Bagaimana syarikat pemaju komersial dan kebun sayur mega masih boleh meneroka hutan untuk mengaut keuntungan besar?

Projek pembesaran aliran longkang/ sungai (projek penebatan banjir) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari 2014 sehingga 2017 hanya menangani simptom dan tidak menyelesaikan punca masalah.

Punca masalah adalah penerokaan hutan tanpa kawalan di Cameron Highlands yang menyebabkan alam sekitar di situ berada dalam keadaan tenat.

Ini diakui sendiri oleh kerajaan negeri melalui Draf Rancangan Tempatan Cameron Highlands (DRTCH) 2030.

Keluasan kawasan pertanian dalam DRTCH 1998-2010 hanya 1,001 hektar manakala dalam DRTCH 2030 ialah 6,341 hektar.

Telah berlaku penambahan kawasan pertanian lebih 5,000 hektar dalam tempoh 17 tahun. Ini tidak termasuk 6,000 hektar lagi yang diteroka tanpa lesen. – UTUSAN

SURESH BALASUBRAMANIAM, Cameron Highlands

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya