Fokus kepada pelancongan yang menguntungkan

Fokus kepada pelancongan yang menguntungkan

Malaysia dinobat sebagai destinasi pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan terbaik dunia pada September lalu pada majlis Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 anjuran International Medical Travel Journal (IMTJ). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA tidak perlu tergesa-gesa membuka pintu sempadan kepada negara-negara yang berisiko tinggi seperti China dan Amerika Syarikat sebaliknya harus bijak dalam menguruskan kemasukan pelancong dari negara terbabit bagi memastikan perkembangan ekonomi negara tidak terjejas.

Seperti sektor ekonomi lain juga, sektor pelancongan harus mula dibuka secara bersasar. Segmen pasaran pelancongan yang berisiko rendah dan memberi impak tinggi kepada pendapatan negara harus dibuka secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian.

Sebagai permulaan, pelancongan perniagaan, Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE), pelancongan pendidikan dan pelancongan kesihatan adalah antara segmen yang harus diberikan keutamaan dalam usaha membuka semula pintu sempadan untuk kemasukan pelancong dari negara tersebut.

Program MM2H sebelum ini menyumbang pendapatan sebanyak RM18.345 billion kepada negara sejak ia diperkenalkan. Pendapatan ini diperoleh daripada pelbagai pembelian hartanah, deposit tetap, perubatan, pendidikan dan perbelanjaan lain.

Menerusi MM2H, peserta program lebih mudah dipantau dalam memastikan mereka mengikut SOP dan dalam masa yang sama lebih banyak pelaburan dan peluang dapat disumbangkan kepada ekonomi negara.
Sementara sejak 2010, sektor MICE berjaya menyumbang lebih RM16 bilion kepada pendapatan negara menerusi program persidangan, insentif, konvensyen dan pameran sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Sehingga kini lebih 2,608 acara yang melibatkan seramai 1,322,866 delegasi meletakkan MICE sebagai antara penyumbang terbesar dalam sektor pelancongan negara.

Malah, segmen ini berupaya menarik kehadiran pelancong perniagaan secara berkumpulan dan pergerakkan mengikut jangka waktu yang ditetapkan. Jadi, mereka lebih mudah dipantau dan ekoran setiap program disusun secara rapi.

Segmen pelancongan kesihatan juga antara penyumbang terbesar apabila mencatatkan 17 peratus Kadar Pertumbuhan Kompaun Tahunan (CAGR) antara 2015 hingga tahun lalu dan membawa kesan kepada ekonomi sebanyak RM7 bilion pada 2019.

Kehadiran 921,000 pesakit luar negara mendapatkan rawatan di Malaysia menerusi inisiatif pelaksanaan gelembung perjalanan kepada pesakit dari negara zon selamat menyumbang lebih RM3 bilion pendapatan negara tahun lalu.

Pencapaian cemerlang ini telah meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan terbaik dunia pada September lalu pada majlis Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 anjuran International Medical Travel Journal (IMTJ).

Apa yang pasti kita telah melakukan apa yang terbaik untuk memastikan keselamatan dan kestabilan ekonomi negara terus terjamin. Kerajaan dengan usaha mereka, rakyat dengan usaha mereka. Akhirnya mudah-mudahan kita berupaya memastikan kelestarian industri pelancongan dan dalam masa yang sama menjamin keselamatan serta kesihatan rakyat daripada ancaman pandemik Covid-19.-UTUSAN

PROFESOR DATUK AZLIE HALIM
Timbalan Presiden MITDA, Professor Adjung UMK & Fello Adjung UUM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya