Bimbang kewujudan One-World Government atau kerajaan dunia tunggal - Utusan Malaysia

Bimbang kewujudan One-World Government atau kerajaan dunia tunggal

PENYERTAAN dalam CPTPP adalah amat bertentangan dengan konsep Malaysia Madani untuk mewujudkan masyarakat seimbang dan adil. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA berasa kecewa dengan pengumuman Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 5 Januari lalu bahawa Kabinet telah membuat keputusan muktamad untuk meneruskan penyertaan negara ini dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasi­fik (CPTPP).

Perjanjian perdagangan bebas itu melibatkan 11 negara iaitu Kanada, Mexico, Chile, Peru, Australia, Brunei, Jepun, Malaysia, New Zealand, Singapura dan Vietnam.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan penubuhan kerajaan baharu sepatutnya diambil kesempatan untuk mempertimbangkan semula kebaikan dan keburukan penyertaan Malaysia ke dalam perjanjian CPTPP ini.

Sebenarnya, ramai ahli ekonomi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kesatuan sekerja yang telah meluahkan kekhuatiran bahawa Malaysia akan terperangkap dalam satu perjanjian yang menghalang kerajaan untuk melaksanakan konsep Malaysia Madani iaitu mewujudkan masyarakat seimbang, mampan dan memberi keadilan kepada seluruh rakyat tanpa melakukan diskriminasi dan penindasan.

Saya risau Kabinet kerajaan perpaduan tidak diberi maklumat tepat mengenai risiko menyertai CPTPP. Sepatutnya kerajaan baharu tidak meneruskan agenda kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian mendalam.

Antaranya, wujud risiko kerajaan Malaysia dihadapkan ke Tribunal Antarabangsa di bawah peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur Negara (ISDS) yang terdapat dalam CPTPP.

ISDS memberi kuasa kepada syarikat asing termasuk yang terlibat dalam pembuatan arak dan rokok untuk menyaman kerajaan Malaysia yang membolehkan mereka menerima pampasan besar jika berasakan tidak dilayan sama rata seperti syarikat tempatan.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa konsep layanan sama rata itu akan memudahkan syarikat-syarikat besar dari 10 negara anggota termasuk dari negara jiran Singapura memonopoli pasaran Malaysia.

Walaupun kajian sesetengah pihak mendapati eksport Malaysia memang akan meningkat, tetapi import akan bertambah lebih banyak lagi dengan wujudnya CPTPP. Oleh itu, imbangan perdagangan negara kita sebenarnya akan menurun dengan pelaksanaan CPTPP.

Kenapa kerajaan begitu terdesak untuk meratifikasi CPTPP? Ini kerana pembuat dasar di MITI terlalu berpegang kepada fahaman neoliberal yang ingin mengurangkan campur tangan kerajaan dan mahu sektor swasta sahaja yang memacu ekonomi.

Mereka percaya semakin banyak pelaburan langsung asing (FDI) yang ditarik ke Malaysia adalah baik untuk negara kita sedangkan itu hanya persepsi sahaja dan tidak semestinya betul.

Dengan pendedahan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai rancangan konglomerat global untuk mewujudkan One-World Government atau kerajaan dunia tunggal yang diterajui sektor swasta, penyertaan dalam CPTPP akan memudahkan syarikat asing menguasai ekonomi Malaysia dan mengaut keuntungan semaksimum mungkin.

Sepatutnya kerajaan terus diberikan kuasa untuk mengawal selia ekonomi dan bukannya diserah segala-galanya kepada konglomerat besar. – UTUSAN

KHAIRUL IZHAR, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya