Beralih kaedah digital serah wang BAP - Utusan Malaysia

Beralih kaedah digital serah wang BAP

IBU bapa cukup lega kerana semua anak yang bersekolah layak mendapat wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 seorang. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, ibu bapa mendapat perkhabaran gembira apabila dimaklumkan semua anak yang bersekolah layak mendapat wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 seorang.

Namun, kita dikejutkan dengan berita seorang guru besar di sebuah sekolah kehilangan RM109,000 wang BAP yang sepatutnya diedarkan kepada warga sekolahnya setelah cermin kereta beliau dipecah.

Saya jangkakan ramai guru besar dan guru-guru berasa bimbang tentang keselamatan wang BAP dan diri mereka sendiri kerana berita pengagihan duit terbabit mendapat liputan meluas di pelbagai media yang boleh menarik perhatian penjenayah.

Andainya modus operandi pecah cermin kereta tidak terlaksana, penjenayah tersebut mungkin mengekori pergerakan guru besar dan memecah masuk rumah beliau pula.

Bagaimana pula jika ada yang menyamar menjadi ‘ibu bapa’ dan berjaya bolos ke dalam bilik darjah. Bayangkan penyamar meletakkan pisau di leher guru untuk mendapatkan wang BAP pelajar dalam kelas tersebut.

Saya tertanya-tanya, mengapakah proses agihan wang BAP dilakukan secara tunai sedangkan terdapat pelbagai risiko kehilangan duit semasa proses pengagihan berlangsung?

Kaedah itu juga dilihat tidak selari dengan misi kerajaan untuk mewujudkan masyarakat digital atau lebih tepat lagi tanpa tunai. Pada pendapat saya, BAP boleh disalurkan ke dalam akaun ibu bapa secara dalam talian.

Setiap kali sesi persekolahan, ibu bapa diminta mengisi atau mengemas kini data murid dalam sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) yang mana maklumat seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon turut disimpan. Mungkin boleh ditambah maklumat nombor akaun bank ibu bapa.

Beban

Ini lebih praktikal dari sudut keselamatan dan kecekapan pengurusan BAP kerana wang tersebut diserahkan secara terus kepada akaun ibu bapa sekali gus mengurangkan beban kerja guru.

Bahkan, ibu bapa tidak perlu hadir secara ­fizikal yang juga boleh mengurangkan risiko seperti pencerobohan penjenayah ke dalam kawasan sekolah.

Alternatif kedua, Kementerian Pendidikan (KPM) boleh menggunakan aplikasi DuitNow QR untuk memindahkan wang BAP kepada ibu bapa.

Melalui kaedah ini, wang dari KPM terlebih dahulu dimasukkan ke dalam akaun sekolah dan kemudian memindahkan ke akaun guru.

Wang dimasukkan ke dalam akaun guru dan seterusnya menyalurkan melalui DuitNow QR. Guru hanya perlu membuat imbasan pada aplikasi DuitNow QR yang di muat naik pada telefon bimbit ibu bapa.

Pada masa sama, maklumat ibu atau bapa akan muncul di skrin telefon bagi membantu guru membuat pengesahan sebelum melakukan pemindahan wang.

Di samping itu, rekod pembayaran lebih telus disebabkan maklumat transaksi seperti nama penerima, jumlah bayaran, tarikh dan masa direkodkan secara automatik.

Maklumat itu pula tidak boleh diubah oleh guru, justeru menjadi sumber dokumen yang sah dan boleh dipercayai.

Jika berlaku kehilangan wang, rekod ini menjadi sumber rujukan untuk menjejaki punca dan tindakan susulan. Selain itu, BAP juga boleh diedarkan dalam bentuk baucar yang nilainya sama dengan wang tunai.

Mungkin penjenayah tidak berminat untuk merompak baucar kerana proses menukarkannya kepada wang tunai bukanlah mudah. – UTUSAN

DR. NOR ASIAH YAAKUB, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.