fbpx

Perlu prihatin tsunami orang Melayu

BN mungkin terpaksa menarik diri daripada kerajaan perpaduan jika sokongan orang Melayu terus merosot. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

SAUDARA PENGARANG,

PAKATAN Harapan (PH) menunjukkan prestasi lebih baik daripada jangkaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PH berjaya memenangi 82 kerusi termasuk lima kerusi dari DAP Sarawak dan satu dari Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sehingga muncul sebagai gabungan politik terbesar dalam negara dan membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

Namun, jalan ke hadapan bukannya tanpa masalah dan para penyokong gerakan reformasi harus melihat dengan jelas cabaran-cabaran yang bakal dihadapi termasuk melibatkan tsunami Melayu.

Lebih kurang 50 peratus pengundi Melayu yang mengundi PH dalam PRU14 pada 2018 telah meninggalkannya.

Perkembangan yang tidak dijangkakan dalam PRU15 ialah kemerosotan sokongan Melayu untuk UMNO.

UMNO yang menerima lebih kurang 45 peratus undi Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan penghakisan sokongan Melayu yang besar dalam PRU15 kepada kurang daripada 25 peratus.

Namun, tidak banyak perubahan dalam jumlah undi bukan Melayu pada PRU15 yang baru berlalu. Dianggarkan sebanyak 90 dan 80 peratus pengundi-pengundi etnik Cina dan India terus menyokong PH.

Adalah penting untuk kita menyedari sebab-sebab penjajaran semula undi Melayu ini.

Pengurangan sokongan Melayu untuk PH kerana kebimbangan gabungan parti itu bersama-sama DAP tidak bersimpati dengan kepentingan kaum itu sama ada dari segi bantuan ekonomi, menegakkan agama Islam ataupun melindungi kedudukan kaum Melayu.

Perpindahan keluar undi Melayu dari UMNO pula berkemungkinan besar didorong oleh kebencian terhadap tahap korupsi yang wujud dalam parti itu dan cubaan kepimpinan UMNO untuk menafikan kesalahan yang dilakukan oleh pemimpin nasional mereka.

Selamat

Hampir semua pengundi yang meninggalkan PH dan BN beralih kepada Perikatan Nasional (PN). Ia dianggap sebagai pertaruhan yang selamat bagi mereka.

Terdapat beberapa maksud berkenaan peralihan sokongan pengundi ini. Pertama, pengundi Melayu turut prihatin tentang masalah korupsi dan salah guna kuasa seperti apa yang dibimbangi pengundi bukan Melayu.

Kedua, kebanyakan pengundi Melayu berkemungkinan lebih kurang 85 peratus tidak mengundi PH dalam PRU15 dan mereka akan memerhati gabungan itu dengan kekhuatiran untuk melihat sama ada amaran buruk yang diuar-uarkan oleh pemimpin BN dan PN mengenai orientasi PH yang anti-Melayu itu benar atau tidak.

Ketiga, walaupun mendapat sokongan jumlah ahli Parlimen yang cukup selesa, tetapi kerajaan perpaduan diketuai PH masih jauh daripada stabil.

Kemungkinan penarikan sokongan secara tiba-tiba yang menjatuhkan kerajaan tidak dapat diketepikan.

Keempat, kemungkinan PN menggunakan kaum dan agama untuk membangkitkan perasaan ketidakterjaminan dalam kalangan masyarakat Melayu adalah sentiasa wujud.

Mereka mempunyai jentera yang boleh memperbesar-besarkan mesej sebegini dalam seluruh masyarakat Melayu.

Jika mereka dapat mengheboh-hebohkan kempen yang menggambarkan gabungan PH-BN sebagai sesuatu yang bertentangan dengan ‘kepentingan’ Melayu, kedudukan BN dalam kerajaan perpaduan mungkin tidak dapat dipertahankan seperti kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan PH pada awal 2020.

BN mungkin terpaksa menarik diri daripada kerajaan pada masa itu untuk mengelakkan kehilangan sokongan Melayu lebih banyak lagi. – UTUSAN

DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN