Aaliyah Yoong cemerlang di Bangkok

Aaliyah Yoong cemerlang di Bangkok

Aaliyah Yoong Hanifah (tengah) meraikan kejayaan bersama adik-adiknya Adam Yoong Hanifah dan Aiden Yoong Hanifah pada Kejohanan Ski Air Asia IWWF 2025 di Bangkok, Thailand. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aaliyah Yoong Hanifah mempamerkan prestasi menakjubkan apabila mengharumkan nama Malaysia pada Kejohanan Ski Air Asia IWWF 2025 di Bangkok, Thailand.

Aaliyah muncul juara keseluruhan wanita selepas merangkul tiga pingat emas dalam acara slalom, lompat dan tricks, sekali gus membuktikan statusnya sebagai ratu ski air Asia.

Lebih manis, adiknya Aiden Yoong turut mengungguli acara keseluruhan lelaki selepas meraih podium dalam semua acara termasuk emas tricks, gangsa slalom dan lompat.

Jurulatih kebangsaan, Hanifah Yoong Yin Fah menyifatkan pencapaian itu sebagai petanda positif menjelang Sukan SEA 2025 di Thailand.

“Kami amat berbangga dengan keseluruhan pasukan, khususnya Aaliyah yang kini berada di kemuncak prestasinya.

“Bukan sahaja dia berjaya mengungguli kategori wanita, malah turut membantu membimbing adik-adiknya sehingga mampu menewaskan atlet lelaki terbaik Asia.

“Ini memberi keyakinan besar bahawa kita berada di landasan tepat untuk mencatat keputusan membanggakan di Sukan SEA akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam acara lelaki, Aiden menewaskan saingan dari Korea Selatan dan Jepun untuk muncul juara keseluruhan dengan kutipan 2,383.6 mata, manakala Adam Yoong Hanifah turut cemerlang apabila meraih pingat gangsa dalam acara tricks.

Malaysia turut mendominasi acara wanita dengan Aaliyah membawa pulang markah penuh 3,000 mata dalam keseluruhan wanita, jauh mengatasi pencabar terdekat dari Jepun dan Indonesia.

Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa besar ski air di Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN