Pengorbanan ibu julang anak di pentas dunia

Pengorbanan ibu julang anak di pentas dunia

Norzeela Sulaiman (kiri) bersama anak-anaknya yang aktif dalam sukan ski air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik kejayaan ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah tidak ramai yang mengetahui ibu kepada jaguh sukan terbabit, Norzeela Sulaiman menjadi tulang belakang kejayaan anak sulungnya itu termasuk dua lagi anak lelakinya, Adam dan Aydan di pentas antarabangsa.

Norzeela mula mengenali sukan ski air selepas mendirikan rumah tangga bersama Hanifah Yoong, bapa kepada pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex yang sudah mencipta nama dalam sukan itu sejak 1990-an.

Kali pertama mengenali sukan itu, Norzeela berkata, dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai sukan tersebut, namun atas dorongan suaminya, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak menoleh belakang apabila menimbu ilmu dengan lebih mendalam terhadap ski air.

Semua itu dibuat kerana kasih dan sayang terhadap anaknya, Aaliyah yang pada ketika itu berusia lima tahun, namun sudah mula menunjukkan minatnya terhadap sukan tersebut.

“Saya boleh katakan pengaruh sukan ski air ini datang daripada anak-anak tiri saya, Alex dan Phillipa yang telah menceburinya sejak 1997. Namun, tidak lama kemudian sukan ini merundum kerana sukan ini mahal.

“Kami bermula dengan sekolah di Putrajaya di mana kami melatih 20 hingga 30 pelajar untuk menceburi sukan ini secara percuma dan pada masa itu anak sulung saya berumur lima tahun dan mula menunjukkan minat terhadap ski air.

“Hampir setiap hari dia berlatih ski air, pagi petang. Saya ada empat anak dan kesemuanya minat terhadap ski air malah anak saya yang berumur enam tahun juga sudah boleh bermain sukan ini,” katanya yang kini bergelar jurulatih ski air negara.

Norzeela berkata, dia mula mengenal pasti bakat yang ada pada Aaliyah ketika anak sulungnya itu beraksi dalam Piala Dunia Persekutuan Ski Air dan Papan Luncur Air Antarabangsa (IWWF) yang diadakan di Putrajaya pada 2008.

“Waktu itu Aaliyah berusia lima tahun dan dia sudah boleh menewaskan lawan yang berusia 12 tahun. Jadi, dari situ kita nampak potensi yang ada pada dia dan kita pun buat perancangan untuk 10 tahun seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, kejayaan bukan datang sekelip mata kerana setiap langkah ke arah itu memerlukan usaha dan pengorbanan malah Norzeela serta anak-anak juga tidak terkecuali.

“Saya sanggup keluarkan anak saya daripada sekolah kebangsaan untuk didaftarkan ke sekolah antarabangsa. Orang ingat saya banyak duit tapi sebenarnya tidak.

“Saya hantar mereka ke sekolah antarabangsa sebab kebanyakan kejohanan di luar negara diadakan pada waktu cuti sekolah antarabangsa. Kalau sekolah kebangsaan, rasanya anak saya tiga bulan akan ketinggalan sebab tidak dapat hadir.

“Aaliya saya pernah hantar dia ke sekolah kebangsaan selama tiga tahun tetapi tidak boleh. Kami hantar mereka ke sekolah antarabangsaan dan berjaya dapatkan tajaan jadi hanya perlu bayar 50 peratus daripada jumlah sebenar,” katanya.

Ditanya kenangan yang pernah dilaluinya, Norzeela mengakui dia tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya apabila Aaliyah murung berikutan tidak dapat menyertai Kejohanan Dunia Remaja Ski Air di Florida pada 2020 akibat dijangkiti wabak Covid-19.

“Segala persiapan semua sudah dibuat malah tiket penerbangan pergi balik ke Amerika Syarikat (AS) juga sudah dibeli tetapi seminggu sebelum kejohanan Aaliyah dijangkiti wabak Covid-19.

“Disebabkan itu juga Aaliyah kini melanjutkan pelajarannya di Florida bagi memburu impiannya dalam sukan ski air,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×