Malaysia perlu polisi ekonomi tangkas - Utusan Malaysia

Malaysia perlu polisi ekonomi tangkas

RAMALAN ekonomi Malaysia masih di landasan yang baik dengan pertumbuhan sekitar empat peratus. – GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

NAMA Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah ditukar menjadi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Walaupun ia hanya perubahan pada nama, langkah memberi tumpuan kepada pembangunan antara wilayah adalah selari dengan salah satu strategi dicadangkan oleh pakar-pakar ekonomi bagi membolehkan Malaysia menghadapi tempias daripada kemelesetan ekonomi global pada tahun depan.

Setakat ini, ramalan ekonomi negara masih di landasan yang baik dengan pertumbuhan sekitar empat peratus.

Pakar-pakar ekonomi menyatakan, kita perlu kepada polisi-polisi tangkas dan boleh menjana pertumbuhan yang mampan, mengawal inflasi dan meningkatkan lagi pendapatan perniagaan serta tabungan.

Juga, langkah-langkah hendaklah diambil untuk meningkatkan lagi tahap keupayaan kita bersaing dan menarik pelaburan ke negara ini.

Sementara itu, kerajaan baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu memberi keutamaan kepada tujuh polisi ekonomi.

Pertama, polisi untuk mengurangkan jurang ekonomi antara penduduk dan wilayah. Penukaran nama KPLB kepada KKDW adalah langkah pertama.

Seperti diterangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari 2021 hingga 2025, sebagai sebuah negara sedang membangun, jurang ekonomi antara penduduk dan wilayah di Malaysia masih lebar dan boleh diperbaiki.

Langkah-langkah hendaklah diambil untuk mengurangkan jurang ekonomi ini. Kedua, memperkenalkan polisi bagi meningkatkan kuasa beli pengguna yang kini terjejas kerana in­flasi.

Harga barangan asas sekarang agak tinggi dan berlaku kemerosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat. Pemulihan kuasa beli pengguna perlu dicapai kerana ia menyumbang kepada peningkatan jumlah penggunaan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Rangsang

Ketiga, mengurangkan pengangguran dan meningkatkan lagi kualiti pekerjaan. Selepas pandemik Covid-19, kadar pengangguran negara semakin menurun.

Tetapi sejak kebelakangan ini, timbul isu baharu melibatkan ramai belia tiada pekerjaan dan masalah pembayaran gaji kurang setimpal dengan kelayakan pekerja. Isu-isu ini jika tidak dibendung, boleh menjejaskan kestabilan sosial.

Keempat, memperbaiki kualiti sistem penyampaian perkhidmatan awam. Sebagai negara sedang membangun, kecekapan sektor awam dalam menyediakan barangan dan perkhidmatan adalah amat penting.

Oleh itu, kecekapan perkhidmatan awam perlu dijaga dan disemak sentiasa bagi membolehkan ia tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Kelima, merombak semula sistem subsidi. Langkah ini bertujuan melaksanakan sistem subsidi bersasar yang lebih efisien dan adil kepada semua rakyat. Ia juga bertujuan mencapai sasaran penjimatan kewangan negara.

Keenam, memperkukuhkan semula kewangan kerajaan yang telah terjejas kerana hutang banyak disebabkan kita melaksanakan belanjawan mengembang untuk sekian lama.

Situasi itu berlaku kerana kerajaan terpaksa berbelanja dan melaksanakan pelbagai pakej rangsangan demi menjaga kesejahteraan rakyat.

Ketujuh, melawan kesan-kesan negatif pandemik Covid-19 seperti kejatuhan pendapatan, kelemahan sistem perlindungan sosial dan kerapuhan tahap keselamatan makanan.

Polisi-polisi untuk mengatasi kelemahan sistem perlindungan sosial dan meningkatkan lagi tahap keselamatan makanan boleh menjamin kestabilan sosioekonomi dan pertumbuhan ekonomi negara.

Diharapkan segala langkah yang telah dicadangkan ini dimasukkan dalam Bajet 2023 yang masih belum diluluskan dan akan dibentang semula. – UTUSAN

BEKAS PENSYARAH EKONOMI, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya