Fokus ubah silibus yang ‘mengarut’

Fokus ubah silibus yang ‘mengarut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEMENTERIAN Pendidikan di bawah menteri baharu, Fadhlina Sidek diminta mengkaji semula silibus pembelajaran di peringkat sekolah rendah yang susah, mengelirukan dan tidak sesuai berdasarkan umur.

Ya, saya faham silibus tidak boleh kerap ditukar kerana ini akan mengganggu proses pembelajaran. Namun sebagai ibu bapa, saya kesian melihat anak-anak ini hilang fokus dan tidak berminat untuk belajar. Mungkin pihak kementerian boleh lakukan sesuatu untuk mengatasi masalah silibus yang ‘mengarut.’

Kesianlah anak-anak terutama di tahun satu yang seperti tertekan kerana secara tiba-tiba erpaksa berdepan soalan-soalan terlalu  berat buat mereka.

Setahu saya sepanjang melalui zaman belajar, apabila berdepan silibus berkaitan soalan, pastinya perkataan siapa, di mana, apa, bila berada di bahagian depan soalan.

Bagaimanapun, ketika saya mengajar anak membuat kerja rumah bahasa Melayu tahun satu,  perkataan berbentuk soalan diletakkan di bahagian belakang. Contohnya, ‘Majalah dibawa oleh siapa?’ atau ‘Sudut bacaan disediakan bila? Adakah dari sudut struktur ayat ini dikira betul?

Baru-baru ini, difahamkan sebahagian ibu bapa merayu Kementerian Pendidikan mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan tahun lalu kerana mereka kini resah dengan prestasi pelajaran anak-anak.

Saya berbeza pendapat dalam hal ini, memandangkan masih ramai lagi muridmurid yang ketinggalan dalam mata pelajaran disebabkan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) gagal dilaksanakan dengan baik.

Benar, ada guru yang bagus mewujudkan komunikasi dua hala tetapi ada pula guru yang mengajar sekadar 10 minit dan menyerahkan kerja rumah sehingga menyebabkan pelajar gagal memahami sesuatu subjek dengan baik sekali gus tercicir dalam pendidikan.

Apabila sekolah dibuka semula, lain pula cabaran dihadapi pelajar ekoran guru lebih ‘sibuk’ dengan telefon bimbit ketika di dalam kelas. Ini diceritakan sendiri oleh anak saya apabila ditanya mengapa tidak bertanyakan kepada guru jika tidak memahami arahan soalan.

Bagi saya, bukan sahaja silibus perlu ditukar tetapi sistem pendidikan negara perlukan reformasi menyeluruh. Jika boleh, haramkan penggunaan telefon bimbit oleh guru ketika di dalam kelas.-UTUSAN

ANI K.

Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.