fbpx

Tokoh pendidikan yang tidak suka berkonfrontasi

SIDEK Baba (kiri) mengunjungi Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membincangkan tentang isu politik semasa di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur pada 2013.

SAUDARA PENGARANG,

TOKOH pendidikan yang juga bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Dr. Sidek Baba, 76, yang meninggal dunia pada Jumaat lalu sebenarnya ialah rakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kedua-dua bergiat dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1970-an.

Berpengalaman sebagai guru selama 18 tahun dan pensyarah di Institut Aminuddin Baki. Dilantik sebagai Dekan Pusat Matrikulasi dari 1992-1994 dan Timbalan Rektor UIAM dari 1994-2002.

Sidek mula berjinak-jinak dengan ABIM pada 1973. Pada ketika itu, Sidek yang sehingga kini lebih gemar dipanggil dengan panggilan ‘Cikgu’ mula menyertai usrah atau kelas mengaji yang diadakan dari rumah ke rumah.

Seperti kebanyakan golongan muda yang dahagakan ilmu Islam, usrah mendedahkan satu pengalaman baharu kepada Sidek kerana memberi tumpuan kepada membaca dan menghurai terjemahan al-Quran serta hadis yang dikaitkan dengan isu-isu semasa.

Sebelum itu, kuliah di masjid hanya menggunakan bahasa lama dengan rujukan kitab kuning. Kupasan pengajian pula kurang menarik.

Penglibatan dengan ABIM mengubah pemikiran nasionalisme dalam diri beliau. Fahaman yang terarah untuk membangunkan masyarakat Melayu yang masih mundur disemai ketika beliau menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak.

Ketika bergiat dengan ABIM, Sidek telah dilatih secara sistematik untuk menjadi seorang pendakwah dengan pengetahuan menyeluruh mengenai pelbagai isu termasuk perbezaan antara konsep sekular (pemisahan agama dengan kehidupan) dan Islam. Topik berkenaan adalah inti pati utama yang perlu difahami setiap mereka yang mahu menjadi aktivis gerakan Islam.

Banyak pihak sering mengait beliau sebagai lawan Anwar kerana dikatakan pernah mengeluarkan ungkapan Malaysia akan terancam jika Presiden PKR itu dipilih memimpin negara.

Sebenarnya perbezaan mereka kerana Sidek mengambil pendekatan bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) manakala Anwar setelah dipecat dari UMNO dan kerajaan pada 1998 memilih menjadi pembangkang dan antikerajaan.

Sidek pernah meluahkan kegembiraan kerana kesedaran Islam dalam kalangan generasi muda di Malaysia sejak 1970-an telah membuahkan hasil apabila berlaku Islamisasi secara terancang dan strategik oleh kerajaan BN.

Itu adalah sifat sebenar Sidek yang sentiasa bersikap terbuka dengan segala dasar dan program berfaedah yang datangnya daripada kerajaan BN.

Kalau ada kritikan yang beliau luahkan, perkara itu akan dilakukannya secara baik.

“Sekitar 1980-an sehingga kini, aku banyak membantu melaksanakan dasar-dasar baik daripada kerajaan. Aku bergerak di seluruh negara memberikan ceramah, hadir dalam seminar dan simposium.

“Aku mengambil sikap bahawa kebaikan boleh datang daripada sesiapa sahaja. Kebaikan yang dilakukan harus dihargai dan dibantu untuk dikembangkan,” katanya kepada saya.-UTUSAN

RAKAN ABIM
Rawang, Selangor

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN