SAUDARA PENGARANG,
PENAMAAN calon telah pun selesai dibuat. Maka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah diambang bagi menentukan komponen parti mana yang akan menjadi kerajaan selepas hari mengundi, Sabtu ini.
Namun, kami penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong di Hulu Terengganu kecewa kerana kemenangan yang dicipta setiap kali PRU tidak memberi apa-apa makna sejak kebelakangan ini (dalam empat penggal ini).
Kami disisih daripada pembangunan fizikal yang sepatutnya dinikmati. Masyarakat setempat amat mengharap pembaharuan dan penambahan pembangunan, namun segalanya kosong (hampa).
Apa yang amat diperlukan di sini adalah perumahan mampu milik, menaik taraf klinik kesihatan, menaik taraf dewan sivik, sebuah dewan serbaguna di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong, sebuah pusat pengajian tinggi yang setaraf, sebuah sekolah agama berasrama penuh, sebuah pejabat pos dan kemudahankemudahan asas lain untuk penduduk.
Suatu ketika, masyarakat menaruh harapan pada penyandang Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dalam membawa perkembangan pembangunan fizikal, namun begitu ia tidak memberi apa-apa makna buat kami.
Ini menunjukkan Kuala Telemong dinafikan daripada segala penambahan pembangunan selari dengan kepesatan peredaran waktu dan masa.
Begitu juga dengan kerajaan negeri yang diterajui Pas, tidak dapat membantu dalam aspek pembangunan untuk kepentingan ummah.
Contohnya, Kampung Kubang Palas memerlukan sebuah masjid baharu bagi keselesaan jemaah. Namun, tiada perkembangan atau pengkhabaran berita baik tentang perkara itu buat masa ini, sedangkan tapak cadangan telah pun tersedia ada sejak pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Dalam PRU15, kami sebagai pengundi di sini berada dalam dilema untuk memilih calon yang benar-benar dapat memberi manfaat pada penduduk selepas pilihan raya.
Jika diikutkan rasa kecewa dan ketidakpuasan hati, mahu sahaja tidak keluar mengundi ekoran kelesuan pembangunan yang berterusan. Entah sampai bila kami akan terus dipermainkan oleh pemimpin yang dipilih setiap kali PRU.
Untuk apa mengundi calon atau parti jika saban tahun kami dijadikan seperti itik salai untuk keenakan orang lain pada setiap kali selepas pilihan raya.-UTUSAN
AZLAN
Kuala Telemong, Hulu Terengganu