Jangan ghairah beri cadangan tidak praktikal

Jangan ghairah beri cadangan tidak praktikal

ELAKKAN murid mengalami tekanan emosi dan mental akibat daripada terpaksa mempelajari terlalu banyak subjek. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMUA pihak harus mengelak daripada mencadangkan apa-apa subjek atau mata pelajaran baharu kepada pelajar tanpa dilakukan kajian mendalam kesesuaiannya terlebih dahulu.

Walaupun cadangan berkenaan kelihatan menarik serta dapat menambah ilmu pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah, saya bimbang mereka akan berasa terbeban untuk mengikuti subjek itu.

Kita juga tidak mahu pelajar kita menghadapi tekanan emosi dan mental untuk mempelajari banyak subjek kerana ia boleh membawa kesan buruk kepada mereka khususnya dari aspek kesihatan.

Oleh itu, segala usaha yang ingin diambil bagi mendidik pelajar kita perlulah realistik dan tidak memberi beban atau tekanan jangka panjang kepada mereka.

Seperti sudah menjadi satu kebiasaan di negara kita sekiranya berlaku sesuatu masalah sosial ataupun jenayah, maka akan muncul cadangan supaya kerajaan memperkenalkan subjek baharu di peringkat sekolah bagi mengatasinya.

Contohnya, jika terdapat peningkatan kadar penyalahgunaan dadah, maka akan muncul cadangan diperkenal subjek baharu berkaitan penyalahgunaan dadah.

Sekiranya terdapat peningkatan kadar kemalangan jalan raya, maka pelajar dicadang mempelajari subjek berkaitan keselamatan jalan raya.

Setiap kali negara kita menyambut kedatangan hari kemerdekaan pada 31 Ogos dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September, maka seperti biasa akan dicadang subjek baharu bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Persoalan yang harus dilontarkan kepada semua pihak, adakah kita ingin terus membebankan pelajar untuk mempelajari semua perkara yang gagal dihayati oleh orang dewasa?

Sepatutnya, kita meminta semua orang dewasa yang terlibat dengan masalah sosial dan jenayah mengikuti kursus khas bagi mengubah sikap mereka.

Kita harus bersikap lebih realistik dalam perkara ini kerana amat mustahil untuk para pelajar sekolah dapat mempelajari segala subjek yang berkaitan dengan semua masalah sosial atau jenayah yang berlaku di dalam kelas untuk suatu tempoh masa yang singkat.

Kasihan juga kepada para guru yang sudah terbeban dengan pelbagai jenis tugas hakiki dan tanggungjawab sedia ada sekiranya masih ada pihak yang berterusan mencadangkan pelbagai jenis subjek baharu diperkenalkan.

Perlu diketahui, memperkenalkan subjek baharu juga akan membawa kepada masalah lain seperti beg sekolah berat kerana pelajar terpaksa membeli buku yang berkaitan untuk dibawa bersama dengan mereka ke dalam kelas.

Daripada asyik sibuk mencadangkan pelbagai jenis subjek baharu, adalah lebih baik masalah yang dibangkitkan itu diselitkan ke dalam mana-mana mata pelajaran sedia ada.

Terdapat banyak mata pelajaran sedia ada yang boleh digunakan untuk mendidik para pelajar mengenai sesuatu isu semasa yang sering dibangkitkan oleh masyarakat.

Langkah ini dilihat bukan sahaja dapat mengurangkan beban yang terpaksa dilalui oleh pelajar malah dapat menyelesaikan juga masalah berbangkit seperti beg sekolah berat serta tekanan emosi dan mental dihadapi pelajar.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN