Ahli panel kerajaan, pembangkang mantap - Utusan Malaysia

Ahli panel kerajaan, pembangkang mantap

JOHARI Abdul Ghani (kiri) dan Rafizi Ramli (kanan) ketika menjadi panel bagi mengupas isu berkaitan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu. – IHSAN TV3
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH diucapkan kepada TV3 kerana menampilkan gandingan ahli panel iaitu bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani daripada pihak kerajaan dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mewakili pembangkang bagi mengupas isu berkaitan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu.

Perkongsian pandangan mereka sangat matang dan harus dipuji kerana berjaya mencari titik persamaan dalam membawa reformasi ekonomi negara ke arah yang lebih dinamik serta kalis terhadap ketidaktentuan dunia pada masa kini.

Kedua-dua ahli panel mengemukakan kaedah penyelesaian bagi tempoh jangka pendek dan panjang dalam usaha memulihkan ekonomi ke landasan lebih mampan.

Beberapa isu dipersetujui bersama dalam perbincangan tersebut tertumpu kepada soal pentingnya kestabilan politik bagi membolehkan dasar yang telah dirancang dilaksanakan.

Selain itu, ahli panel berpendapat, kerajaan perlu mempunyai dasar berkesan dalam menangani pelbagai krisis seperti pandemik Covid-19, kejatuhan nilai ringgit dan menarik pelaburan langsung asing.

Krisis lain adalah bagi meningkatkan pelabur luar dalam pasaran saham negara, meningkatkan hasil keluaran dalam negara serta mengurangkan kebergantungan import, mengawal aliran keluar tunai dan lain-lain lagi.

Ahli panel juga berpendapat, kerajaan perlu mempunyai hala tuju jelas serta mampu menyediakan insentif dan inisiatif yang mampu merancakkan ekonomi negara.

Di samping itu, kerajaan harus menyediakan pelan bagi menangani inflasi dengan memberi suntikan subsidi terhadap barangan keperluan rakyat.

Kerjasama

Selain itu, nilai tambah yang perlu ada dalam memastikan hasil pengeluaran dapat ditingkatkan ialah pengupayaan syarikat-syarikat tempatan melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan sokongan dan bantuan daripada kerajaan.

Meningkatkan keupayaan syarikat-syarikat tempatan mampu menambah hasil pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan kepada import serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

Mereka berpendapat, asas ekonomi perlu difahami dengan baik oleh setiap rakyat kerana faktor-faktor luar juga menjadi penyumbang kepada nilai ringgit serta mempengaruhi ekonomi negara seperti gangguan rantaian bekalan makanan di peringkat global dan perang antara Ukraine dan Russia.

Kedua-dua ahli panel dilihat bersetuju mengenai perlunya sinergi dan kerjasama antara Kementerian Kewangan dengan kementerian-kementerian lain bagi menstruktur semula kaedah terbaik dalam merancang polisi, dasar dan pelaksanaan program secara lebih berkesan untuk keselesaan rakyat.

Daripada program itu, saya berpendapat, kerjasama antara kerajaan dan pembangkang diperlukan dalam mengemukakan idea bagi membantu merangka dasar yang lebih menjamin kestabilan dan kemakmuran hidup rakyat.

Diharapkan perkongsian idea daripada kedua-dua ahli panel ini dapat membuka lebih ruang kepada calon-calon kepimpinan dari pelbagai parti untuk melontarkan pandangan.

Semoga negara ini akan mempunyai lebih ramai calon kepimpinan yang mampu mentadbir negara dengan cemerlang serta membawa kemakmuran bersama dalam Keluarga Malaysia. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya