fbpx

Suburkan budaya Islam, tolak pemikiran kafir mengkafir

MENYEMAI sikap saling tolong-menolong pada perkara kebajikan dan takwa merupakan saranan yang jelas berdasarkan perintah Allah SWT. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

SAUDARA PENGARANG,

TERAS kekuatan Islam terletak pada iman dan hubungan kasih sayang sesama Muslim.

Islam menekankan konsep saling tolong-menolong dalam membuat kebajikan dan takwa ke jalam Allah SWT serta menolak kerjasama pada perkara dosa mahupun permusuhan.

Untuk itu, suruhan ke arah kebajikan dan takwa serta larangan kepada dosa dan permusuhan perlu difahami dengan baik dalam urusan pentadbiran negara.

Pemikiran kafir mengkafir sesama Muslim mendatangkan kesan buruk sehinggan boleh memberi imej negatif terhadap masyarakat bukan Islam. Selain itu, pemikiran sedemikian membuka ruang untuk musuh- musuh Islam mengambil kesempatan atas kelemahan umat Islam.

Justeru, kesatuan dan kesepaduan umat merupakan salah satu amalan budaya Islam yang perlu dijunjung tinggi sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Surah Ali Imraan: 103)

Teras kekuatan kita adalah nilai iman dan persahabatan yang membawa kepada kebaikan dan pahala, bukan perpecahan serta kebencian berpanjangan seperti menghentikan persengketaan yang tidak menguntungkan dan menumpukan kebaikan di dunia dan akhirat.

Bina kekuatan dalam memakmurkan bumi Allah SWT dengan menyuburkan syariat Tuhan di dalam amalan kehidupan kita.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada Malaysia seperti mana gagasan yang termaktub di dalam al-Quran yang bermaksud: “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri  kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’: 15) -UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Perlis

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN