Bersedia hadapi bajet defisit

Bersedia hadapi bajet defisit

KERAJAAN dijangka akan meneruskan pemberian subsidi dan bantuan secara bersasar bagi memastikan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PASTINYA rakyat Malaysia menunggu dengan penuh minat pembentangan Bajet 2023 pada bulan depan bagi mengetahui respons kerajaan terhadap senario ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu.

Tinjauan ekonomi bagi 2023 dijangka kurang memberangsangkan sepertimana dilaporkan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk tahun depan dari 3.8 peratus kepada 2.9 peratus sahaja.

Malaysia yang mengamalkan ekonomi secara terbuka tidak terkecuali akan merasa tempias dari apa yang akan berlaku di peringkat global.

Rantaian bekalan global yang belum pulih sepenuhnya akibat Covid-19 ditambah lagi dengan konflik Russia-Ukraine serta faktor iklim yang tidak menentu meningkatkan harga komoditi dan makanan secara mendadak.

Pada Jun lalu, kadar inflasi di Amerika Syarikat dan United Kingdom melebihi sembilan peratus manakala negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina melebihi kadar enam peratus. Malaysia pada bulan itu mengalami inflasi pada kadar 3.4 peratus.

Kerajaan dijangka akan meneruskan pemberian subsidi dan bantuan secara bersasar melalui program-program perlindungan sosial.

Ia akan memberi tumpuan berterusan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, sistem pendidikan berkualiti, keselamatan awam dan persekitaran hidup yang lebih selesa serta menggalakkan pembangunan yang inklusif dan mampan.

Bajet 2023 dijangkakan menjadi bajet defisit dan terbesar dalam sejarah bajet negara demi untuk memastikan kerajaan dapat menumpukan inisiatif-inisiatif Keluarga Malaysia yang dirancang.

Meskipun ada yang mengatakan Bajet 2023 berkemungkinan besar menjadi belanjawan populis, adalah diharapkan ia akan membolehkan kita menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.-UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD @ SAID
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN