Berperikemanusiaan kepada pekerja asing - Utusan Malaysia

Berperikemanusiaan kepada pekerja asing

PENDIDIKAN kepada semua pekerja asing mengenai hak mereka sepanjang berada di negara ini perlu dibuat. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA banyak pihak bercakap tentang isu rakyat Malaysia dilayan secara tidak berperikemanusiaan oleh sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar, Kemboja, Thailand dan Laos, kita tidak seharusnya melupakan layanan yang diberikan terhadap pekerja asing di negara ini.

Setiap pekerja termasuk warga asing perlu dilayan dengan baik, adil serta penuh berperikemanusiaan dan bukannya dilayan seperti hamba abdi. Tidak ada sebarang sebab untuk menafikan hak pekerja asing menerima layanan yang baik dan adil daripada kita semua.

Artikel 23 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 jelas menyatakan setiap orang ada hak untuk bekerja, bebas mencari pekerjaan diingini oleh mereka, bekerja dalam suasana yang baik dan adil serta dilindungi daripada pengangguran.

Artikel berkenaan juga menyatakan setiap orang memiliki hak untuk menerima upah yang sama tanpa sebarang diskriminasi, menerima jumlah pendapatan sesuai bagi menampung kehidupan dirinya, menampung keluarga serta berhak untuk mendapatkan perlindungan sosial.

Segala apa yang tercatat dalam artikel itu bukan sahaja terpakai kepada pekerja tempatan malah pekerja asing juga. Agak menyedihkan kerana masih wujud aduan pekerja asing di negara kita terpaksa mengharungi pelbagai jenis salah laku daripada majikan.

Antara masalah sering dihadapi oleh pekerja asing ini meliputi penipuan, eksploitasi, penderaan, kemalangan di tempat kerja, pendedahan kepada kekotoran dan risiko penyakit serta penafian hak untuk menerima perlindungan.

Segala masalah berbangkit ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap reputasi negara kita di mata dunia. Adalah penting supaya setiap pekerja asing di negara kita menerima perlindungan sewajarnya sama seperti orang lain.

Dakwa

Perkara 6(1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “Tiada seorang pun boleh ditahan sebagai abdi.” Perkara 6(2) pula menyatakan, “Segala bentuk kerja paksa adalah dilarang.”

Perkataan “Tiada seorang pun” itu bukan sahaja terhad terhadap pekerja tempatan malah turut meliputi pekerja asing. Kita tidak boleh melayan pekerja asing sebagai hamba abdi serta memaksa melakukan sebarang jenis pekerjaan yang mereka tidak suka.

Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan juga jelas menyatakan bahawa “Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.” Perkataan “Semua orang” yang digunakan itu merujuk kepada pekerja asing juga.

Oleh itu, sebarang jenis salah laku dan penganiayaan terhadap pekerja asing adalah dilarang sama sekali di negara kita. Tindakan undang-undang sewajarnya perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang salah laku atau penganiayaan terhadap pekerja asing.

Pendakwaan jenayah di bawah Kanun Keseksaan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan sebarang jenis perbuatan jenayah terhadap pekerja asing di negara kita seperti penderaan, pengurungan dan serangan berbentuk fizikal ataupun seksual.

Selain itu, pendedahan dan pendidikan kepada semua pekerja asing mengenai hak mereka sepanjang bekerja dan berada di negara ini perlu dibuat.

Semua pekerja asing juga perlu dimaklumkan mengenai kewujudan pelbagai jenis pertubuhan sukarela yang boleh menghulurkan bantuan segera kepada mereka sepanjang bekerja di negara ini. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya