Wujudkan skim pencen pesawah - Utusan Malaysia

Wujudkan skim pencen pesawah

Ramai pesawah derita akibat industri padi banyak dikawal kartel. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KRISIS bekalan makanan yang melanda dunia sekarang merupakan satu peringatan kepada kita bahawa kedaulatan makanan dengan hasil sendiri adalah amat penting untuk keselamatan dan kesejahteraan sesebuah negara.

Setakat ini, import makanan Malaysia hampir mencecah RM65 bilion setahun. Sebahagian besar adalah makanan asas seperti bijirin (beras, gandum, jagung), sayur-sayuran, ikan serta susu.

Dalam konteks penanaman padi, hasil dapat ditambah jika subsidi input seperti baja, benih dan racun yang sekarang diberikan kepada syarikat-syarikat terpilih disalurkan terus dalam bentuk tunai atau baucar kepada pesawah.

Perkhidmatan kebanyakan syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk menyalurkan baja, benih dan racun kepada pesawah kurang memuaskan kerana barangan dibekalkan berkualiti rendah, tidak sesuai untuk semua jenis sawah dan sering dihantar lewat sehingga menjejaskan pengeluaran padi.

Oleh itu, disarankan peruntukan sama disampaikan melalui tunai atau baucar supaya pesawah dapat memilih barangan yang terbaik dan sesuai dengan kaedah pertanian dan tanah sawah mereka.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan semangat pesawah untuk bekerja bersungguh-sungguh, mereka perlu ditawarkan Pencen Warga Emas.

Pesawah tidak boleh menukar status tanah untuk aktiviti pertanian lain atau penternakan tanpa izin daripada kerajaan negeri. Polisi ini telah dikuatkuasakan sejak zaman British kerana kerajaan sedar bahawa bekalan beras adalah amat penting untuk rakyat.

WARGA EMAS

Jadi, amat munasabah untuk menawarkan pencen warga emas sebanyak RM500 sebulan bagi setiap pesawah yang mencapai umur 60 tahun kerana mereka telah berkorban untuk membekalkan kita barangan makanan asas dengan harga terkawal.

Kedua, dari segi sayur-sayuran. Kawasan tanaman sayur sedia ada perlu dikekalkan sebagai tapak pengeluaran makanan.

Pada masa ini, 75 peratus daripada pengeluaran sayur-sayuran di Semenanjung diusahakan di atas tanah kerajaan yang terbiar.

Ramai daripada pekebun sayur merupakan generasi ketiga. Datuk nenek mereka menerokai kebun sebelum Perang Dunia Kedua.

Sekarang walaupun penanaman sayur hanya mengambil empat peratus daripada jumlah tanah pertanian di Malaysia, pekebun sedang diancam pengusiran secara besar-besaran oleh pemaju-pemaju projek perumahan dan perindustrian.

Oleh itu, kawasan yang telah dilupuskan kepada pemaju tetapi masih diusahakan oleh pekebun, harus diambil balik oleh kerajaan negeri dan dibenarkan untuk meneruskan penanaman sayur di situ. Tanah gantian boleh diberikan kepada pemaju.

Kawasan penanaman sayur itu harus diberi pajakan dengan tempoh 10 hingga 20 tahun kepada petani dengan syarat tidak boleh menukar kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan getah. Jika terbiar untuk lebih setahun, ia boleh diambil balik oleh kerajaan negeri dan dipajak kepada pekebun lain.

Pengalaman dan kemahiran para pekebun kecil dalam bidang menanam sayur-sayuran harus dipandang sebagai satu aset kepada negara dalam usaha menjamin makanan untuk rakyat. Jangan sia-siakan aset ini. – UTUSAN

JARINGAN PENGELUAR MAKANAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya