fbpx

Usah pencilkan diri bersama ‘gajet’

BENARKAH tanggapan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda semakin pudar? – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

SAUDARA PENGARANG,

TAHUN ini genap 65 tahun usia kemerdekaan negara kita. Jika mengambil kira perbandingan sebagai usia manusia bererti negara kita telah mencapai tempoh kematangan tertinggi, dapat berfikir secara bebas serta mampu membuat keputusan dengan bijaksana dan dihormati selayaknya.

Namun, ibarat seorang manusia, sifat-sifat tersebut hanya berjaya dicapai sekiranya negara mempunyai kesatuan pemikiran dalam kalangan seluruh rakyat sehingga mereka boleh bertindak secara bijaksana, matang dan merdeka sesuai dengan umur kemerdekaannya.

Justeru, antara cabaran besar dihadapi negara dalam mengekalkan semangat kemerdekaan ialah bagaimana menerapkan semangat itu supaya sebati dalam diri setiap generasi muda sebagaimana dipunyai oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu.

Apa pun, tanggapan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda semakin pudar perlu diselami dengan adil terlebih dahulu. Benarkah mereka begitu?

Harus difahami, setiap lapisan generasi mempunyai pengalaman berbeza. Bagi generasi zaman penjajahan misalnya, fokus patriotismenya adalah memperjuangkan kemerdekaan. Justeru, semangat nasionalisme mereka memang tinggi bagi mengisi kemerdekaan.

Bagi generasi yang melalui zaman konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan Malaysia yang baharu dibentuk. Bagi yang mengalami peristiwa 13 Mei 1969, fokusnya untuk mengangkat perpaduan rakyat, manakala di masa kegawatan ekonomi pula fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.

Lalu apakah pula fokus patriotisme dan nasionalisme generasi muda hari ini? Hakikatnya, sejajar dengan perubahan zaman serta kemajuan teknologi yang semakin pesat, generasi muda seharusnya lebih matang berfikir dan bertindak.

TEKNOLOGI

Pada masa sama, kita juga harus menerima hakikat bahawa hasil daripada pendidikan yang sempurna dan kemajuan teknologi maklumat telah mengubah cara berfikir dan gaya dalam merayakan erti kemerdekaan.

Trend kini berbeza. Program perayaan kemerdekaan seperti memuat naik klip video pendek serta dinding kertas kreatif melalui media sosial bagi meraikan sambutan kemerdekaan menjadi lebih segar di tangan generasi muda ini. Mereka lebih gemar mengekspresikan semangat patriotisme melalui media sosial dan internet.

Mereka menggunakan media interaktif dalam talian seperti TikTok, Facebook, WhatsApp dan sebagainya yang lebih hampir dalam kehidupan mereka berbanding amalan sejak dahulu iaitu sambutan secara bersemuka dan melakukan gotong-royong.

Dengan kata lain, generasi muda bukanlah bersikap dingin, tidak patriotik atau semangat kemerdekaan mereka telah pudar tetapi mereka mahukan cara yang lebih kreatif dalam menjayakan aktiviti bulan kemerdekaan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa.

Apa yang pasti, masa depan negara sebahagiannya bergantung kepada sejauh mana tahap kesedaran generasi pewaris ini dalam mengekalkan nikmat kemerdekaan yang sekian lama dikecapi.

Sesuai dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, generasi muda harus tampil terlibat sama dalam menjayakan sambutan ini.

Usah sekadar aktif di media sosial dan memencilkan diri bersama ‘gajet’ (gadget) sebaliknya wajar melibatkan diri secara aktif dengan aktiviti yang dianjurkan kerajaan sebagai tanda kesyukuran dan kebersamaan selari dengan konsep Keluarga Malaysia. – UTUSAN

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!